Sorting by

×

WRUR AYER KEROH: ‘TAK PERLU LAGI TADAH BESEN SETIAP KALI HUJAN’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Bantuan baik pulih kediaman daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memberi makna besar buat Muhammad Zain Kamaruddin, 34, dan isteri Nor Ayu Basri, 38, bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Muhammad Zain berkata, sebelum ini dia terpaksa menadah besen di beberapa sudut rumah pusakanya setiap kali hujan lebat bagi mengelakkan lantai basah dan barangan lain rosak akibat terdedah kepada air.

Ketika ditemui operator kilang ini turut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya menerima bantuan berkenaan selepas beberapa kali membuat permohonan kepada agensi dan jabatan berkenaan.

“Rumah lama ini adalah peninggalan arwah nenek jadi keadaannya sudah uzur, kayu dan papan juga ada yang diserang anai-anai. Terima kasih terutamanya kepada MPHTJ atas bantuan disalurkan sudah pasti ini rezeki untuk anak kami yang bakal lahir nanti.

“Jika harapkan pendapatan saya, mungkin hasrat untuk melakukan baik pulih akan terus tertangguh, syukur sangat kerana apa saya dapat ini amat lebih daripada memadai dan luar jangkaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kempen Kebersihan Dan Baik Pulih Rumah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, di Kampung Sungai Putat, semalam.

Terdahulu majlis disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron dan Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Menurutnya, proses baik pulih melibatkan kerja-kerja mengecat semula bahagian luar rumah dan menggantikan tikar getah mewujudkan suasana yang lebih ceria, luas dan selesa.

“Meskipun sudah uzur, rumah pusaka ini sebenarnya menjadi tempat kami anak-beranak berkumpul terutama setiap kali sambutan hari raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post BERKAIN PELIKAT ‘GELECEK’ BOLA DI PANTAI KLEBANG
Next post KUIH BAKAR JULANG NAMA ‘KAMPUNG KOBOI’