Sorting by

×

KEREPEK PISANG ALONG SEMAKIN LARIS

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

ASAHAN 6 Mei – Pengusaha kerepek pisang kecil-kecilan, Norremy Husin, 42, mahu menjadikan produk dihasilkan sebagai batu loncatan untuk menggapai impian bergelar usahawan digital pada suatu hari nanti.

Norremy berkata, sejak dua tahun lalu dia giat mempromosikan kerepek pisang nangka dan tanduk dihasilkan menerusi medium media sosial seperti WhatApp, TikTok serta Facebook yang semakin mendapat perhatian pemburu makanan ringan tradisional.

Katanya, hasil promosi dilakukan dia kini mempunyai pelanggan tetap di Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu dan Sarawak selain sedang mengembangkan lagi pasaran di semua daerah di Melaka.

“Saya sebenarnya pengusaha warung makan, jadi sepanjang berniaga ramai pelanggan singgah makan tengah hari bertanya mengenai makanan ringan atau kudapan, tercetus idea untuk menghasilkan kerepek pisang ini.

“Melihat cubaan pertama mendapat sambutan saya memberanikan diri dan beralih ke medium media sosial untuk menggadakan lagi promosi, alhamdulillah selepas dua tahun perniagaan kecil-kecilan ini berkembang sedikit demi sedikit,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di warung diusahakan di Taman Batang Melaka Jaya.

Mesra dengan panggilan Along, Norremy berkata, selain kerepek pisang dia turut menghasilkan produk sejuk beku seperti karipap inti sardin dan kentang dengan citarasa ‘kampung.

Baginya, apa yang dilakukan sekarang secara tidak langsung mewujudkan ekosistem ekonomi di Dewan Udangan Negeri (DUN) Asahan apabila pisang mentah yang digunakan diperoleh daripada pekebun kecil di perkampungan sekitar.

“Lebih baik saya manfaatkan rantaian bekalan tempatan, pisang mentah segar dari ladang harga pula amat berpatutan, kalau pembekal luar dari DUN Asahan mungkin saya akan dikenakan kos lain seperti caj penghantaran.

“Apabila produk ini berkembang saya bukan sahaja memajukan diri sendiri, malah turut membantu pengusaha buah-buahan tempatan untuk terus maju. Kita di DUN Asahan bersama-sama maju dan berkongsi rezeki,” katanya.

Secara purata dia menghasilkan sekitar 100 kilogram (kg) kerepek pisang setiap dua minggu sekali dan jumlah itu meningkat hampir 500 kg pada musim perayaan termasuk pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Menurutnya, bagi menghasilkan kerepak yang rangup dan enak dia hanya memilih pisang segar yang direndam dalam air kunyit dan garam selain dimasak tidak terlalu lama bagi mengelakkan rasa pahit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post MATTA MELAKA PERLUAS PROMOSI PELANCONGAN KE PANTAI TIMUR
Next post SABUN BUNGA TELANG ‘BUAH TANGAN’ ISTIMEWA ORANG ASLI GAPAM BARU