Sorting by

×

MELAKA BELA KEBAJIKAN OKU, ANAK AUTISME

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 2 Mei – Kerajaan Negeri terus memperkasa kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya kanak-kanak autisme, menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme yang diberikan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada mereka yang dihantar ke pusat perkhidmatan terapi atau Program Intervensi Awal (EIP).

Beliau berkata, selain itu juga menerusi pembentangan Bajet 2026, sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk tujuan penambahbaikan peralatan pemulihan dan fisioterapi di pusat terapi OKU di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

“Inisiatif ini juga akan menyediakan khidmat tenaga kerja pakar iaitu Jurupulih Cara Kerja yang akan dilantik bagi kemudahan terapi di PDK selain diharapkan dapat memberi manfaat kepada seramai 584 pelatih diseluruh Melaka.

“Selain itu, penubuhan PDK DuyongKita akan dikhususkan kepada anak-anak Autisme bagi memastikan intervensi dan pembangunan bakat dilakukan secara lebih berfokus serta berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) Peringkat Negeri Melaka 2026 Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, di ruang legar JKM Negeri Melaka, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhamad.

Menurut Kalsom, sehingga April 2026, terdapat seramai 38,642 OKU berdaftar dengan JKM Melaka, di mana jumlah itu akan sentiasa meningkat saban tahun.

Justeru, kata beliau, Kerajaan Negeri melalui JKM akan terus komited memperkukuh pelaksanaan Program PDK yang berperanan sebagai pusat intervensi dan sokongan kepada peserta OKU.

“Selain itu, PDK ini juga turut berperanan sebagai platform memperkasa komuniti serta meningkatkan potensi dan keupayaan individu OKU secara lebih menyeluruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post ELRICK PEMUDA ORANG ASLI KEBANGGAAN ASAHAN
Next post ‘SIFU’ SENI KAYU ASAHAN