
SAMBUTAN JUBLI EMAS MOZAC HIMPUN LEBIH 1,000 ALUMNI
BANDA HILIR 3 Mei – Lebih 1,000 alumni Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) berhimpun dalam Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas sekolah berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Yang Dipertua Alumni MOZAC Sr. Abdul Halem Berahim, berkata, antara objektif utama penganjuran majlis itu adalah menghimpunkan alumni daripada ‘batch’ terawal iaitu 1976 sehingga 2024.
Katanya, jumlah keseluruhan alumni MOZAC dianggarkan jauh lebih ramai memandangkan setiap tahun melahirkan kira-kira 120 hingga 150 pelajar sejak 50 tahun lalu.
“Namun, yang hadir adalah mereka yang berkesempatan untuk kembali dan bersama-sama memeriahkan sambutan ini.
“Tujuan utama penganjuran majlis ini bukan tertumpu kepada jaringan perniagaan, sebaliknya lebih kepada menghidupkan semula hubungan silaturahim yang lama terputus.
“Kita mahu alumni berjumpa semula, sambung kembali hubungan lama. Malah ada juga yang tidak sangka individu yang sering ditemui dalam industri rupa-rupanya rakan alumni MOZAC sendiri,” katanya kepada Melaka Hari ketika ditemui pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan program seumpama itu tidak diadakan secara kerap, di mana kali terakhir ia dianjurkan adalah sempena ulang tahun ke-40 kira-kira 10 tahun lalu.
“Selepas ini, kita mungkin akan teruskan lagi untuk sambutan ke-60 tahun iaitu Jubli Intan dan harap generasi lebih muda akan mengambil alih untuk meneruskan legasi ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


