Sorting by

×

WRUR PELENGKAP USAHA MELAKA JUARAI KEBAJIKAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER MOLEK 3 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang kini sudah memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 sejak diperkenalkan awal tahun lalu terbukti menjadi antara inisiatif pelengkap kepada usaha menjuarai kebajikan rakyat.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, ia dapat dilihat apabila program kebajikan seperti ziarah kasih dan penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan menjadi tunjang dalam setiap penganjuran WRUR.

Beliau berkata, secara purata, dianggarkan sebanyak 100 buah rumah penerima bantuan diziarahi dan disantuni kepimpinan Kerajaan Negeri di setiap DUN sempena WRUR.

“Bila sebut soal kebajikan, saya boleh katakan Melaka merupakan juara dalam menyantuni rakyat memerlukan dan WRUR inilah yang menjadi pelengkap kepada kejayaan itu.

“Mengambil contoh di DUN Pengkalan Batu sahaja, sebanyak lebih 200 rumah penduduk memerlukan disantuni dan begitu juga di DUN-DUN lain apabila ia bukan sahaja melibatkan saya selaku Exco berkaitan, tetapi juga wakil rakyat kawasan dan pemimpin setempat.

“Kebajikan ini menjadi antara program keutamaan sempena WRUR dan kita akan terus komited untuk menyantuni seberapa ramai golongan memerlukan supaya gagasan Melaka Sayang Rakyat itu dirasai di seluruh negeri tanpa meminggirkan mana-mana golongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program WRUR DUN Ayer Molek: Hang Tuah Jaya Kampung Kita yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan di Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Menurut Kalsom, di bawah portfolio beliau, terdapat tiga agensi yang menjadi teras dan penggerak pelbagai program yang diadakan bersempena WRUR iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di bawah JKM kita memberi fokus kepada program seperti ziarah kasih serta santuni OKU dan warga emas di setiap DUN.

“Manakala di bawah JPM memberi tumpuan kepada program untuk golongan wanita dan LPPKN pula membawakan program kesedaran kesihatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post DI USIA 77 TAHUN, TOO MOI MASIH ‘POWER’ BERKEBUN
Next post REMPEYEK ANA KUDAPAN POPULAR DARI BUKIT SEDANAN