Sorting by

×

KAMPUNG BUKIT BULAT IKON PELANCONGAN DESA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MACHAP JAYA 10 Mei – Dikelilingi kehijauan alam semulajadi, di samping penduduk yang hidup dalam suasana harmoni melayakkan Kampung Bukit Bulat diangkat sebagai contoh desa lestari.

Dihuni kira-kira lebih 600 penduduk, kampung yang majoritinya peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memiliki banyak potensi untuk diketengahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Bulat Abd Hamid Hashim berkata, antara tarikan yang dimiliki adalah dalam sektor pelancongan, di mana terdapat sebuah chalet dengan pelbagai tarikan disediakan di kawasan itu.

Jelas beliau, chalet itu dibangunkan Koperasi Bukit Bulat Felda Machap menerusi geran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Desa Lestari dengan peruntukan RM2.5 juta, di mana ia dilengkapi lima bilik dan kolam renang.

“Tidak hanya itu, penginap juga dapat menikmati keindahan kampung yang tenang dan boleh menikmati pelbagai tarikan antaranya aktiviti ATV di dalam ladang sawit, menunggang kuda dan memancing di kolam air tawar yang terdapat di sini.

“Malah, kampung ini juga menjadi seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi mereka yang menuju ke Pantai Timur, di mana ia juga meriah dengan gerai-gerai makanan serta produk cenderahati,” katanya kepada Melaka Hari Ini,

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Bukit Bulat Felda Machap Md. Shukor Harun berkata, pihaknya akan terus komited untuk memacu sektor pelancongan di kawasan itu dengan pelbagai perancangan, antaranya berhasrat mewujudkan sebuah pakej pelancongan desa yang menarik.

Jelasnya, selain menginap, pakej itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai aktiviti menarik berkonsep ekopelancongan yang terdapat di kampung tersebut, termasuk mengetengahkan bengkep pembenihan burung berbulu pelepah yang terdapat di kawasan itu.

“Selain itu, kami juga berhasrat untuk membangunkan sebuah dewan terbuka dengan konsep moden yang boleh menjadi lokasi bagi majlis perkahwinan atau acara-acara lain yang dapat memberi lebih nilai tambah kepada kawasan ini.

“Pada masa sama, kita juga merancang untuk menganjurkan acara larian dalam ladang sawit (Run d’Sawit) ke arah usaha untuk membangunkan lagi kampung ini dalam sektor pelancongan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2175
Kongsi :
Previous post WARISAN SILANG BUDAYA MODEL PERPADUAN HIDUP
Next post PEMBANGUNAN MELAKA BERPAKSIKAN FALSAFAH MESRA