Sorting by

×

PEMBANGUNAN MELAKA BERPAKSIKAN FALSAFAH MESRA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER MOLEK 10 Mei – Pembangunan pesat di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya turut memberikan faedah kepada rakyat dan komuniti setempat di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan setiap pelaburan masuk ke negeri ini, pelaksanaan projek dan perancangan dilaksanakan sentiasa berpaksikan kepada falsafah Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Sebagai bukti beliau berkata, menerusi inisiatif MeSRa Kebajikan Masyarakat sebanyak RM71.5 juta telah disalurkan kepada lebih 17,000 penerima yang layak di Parlimen Hang Tuah Jaya, sepanjang tiga tahun ini.

Tambahnya lagi, sebanyak 21 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM1.38 bilion kini sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Dalam aspek pendidikan pula, kita sedar bahawa pertambahan penduduk di kawasan Batu Berendam dan sekitarnya menuntut penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih terancang dan kondusif, atas keperluan itu, suka saya mengumumkan, sebuah Kompleks Sekolah Batu Berendam bernilai hampir RM213 juta akan dibangunkan dan pembinaannya dijangka bermula pada Oktober 2027.

“Selain itu, sebuah Tabika KEMAS baharu di Taman Ayer Keroh Heights juga akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Terdahulu Ketua Menteri berkonvoi motosikal dari kediaman rasmi beliau di Seri Bendahara ke Warung Wak Apan, Kampung Bukit Lintang untuk bersarapan bersama orang DUN Ayer Molek.

Beliau kemudian singgah ke Pertandingan Gasing dan Penyampaian Peruntukan Naik Taraf Gelanggang Gasing Pangkah Delima Kampung Pengkalan Renggam daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) berjumlah RM400,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7733
Kongsi :
Previous post KAMPUNG BUKIT BULAT IKON PELANCONGAN DESA
Next post SAYA TIDAK MAHU RAKYAT ‘TERBIASA’ DENGAN MASALAH