
RUMAH WARISAN JAWA: NADI ILMU, LAMBANG PERPADUAN KOMUNITI JAWA
AYER MOLEK 10 Mei – Rumah Warisan Jawa menjadi satu projek penting dalam usaha untuk terus memelihara adat serta warisan turun-temurun komuniti Jawa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, kemudahan itu dianggap sebagai muzium hidup menceritakan keunikan komuniti Jawa melibatkan makanan, busana dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, adat dan kesenian.
Katanya, mengikut perancangan kompleks itu akan dilengkapi kemudahan seperti restoran, dewan dan chalet yang sesuai bagi melaksanakan pelbagai aktiviti serta program.
“Hasrat kita bukan sekadar mahu memperkasakan komuniti Jawa di DUN Ayer Molek atau Melaka sahaja, tetapi juga melibatkan komuniti Jawa seluruh negara,” katanya kepada Melaka Hari ini.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.
Majlis penutup itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka.
Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Rahmad berkata, menerusi WRUR DUN Ayer Molek juga orang ramai didedahkan kepada makanan komuniti Jawa seperti rangin, tiwul, nasi udhuk, bunceng, punten dan gudek.
“Kepada yang tidak berkesempatan untuk menjamah hadangan Jawa yang disediakan pada program kali ini memang rugi kerana tidak ada dijual di tempat lain. Promosi makanan Jawa contoh dulu orang tidak berapa gemarkan nasi ambeng, tetapi sekarang hidangan itu sudah popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Turut dipamerkan adalah busana dan keunikan seni tradisional tarian orang jawa termasuk tarian kuda kepang. Semua ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk memperkasakan komuniti Jawa di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


