Sorting by

×

PERKASA KEMUDAHAN KESIHATAN, PENDIDIKAN DUN AYER MOLEK

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER MOLEK 10 Mei – Sektor pendidikan dan kesihatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri seiring dengan pertambahan penduduk di DUN berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, sebuah bangunan tambahan merangkumi 12 bilik darjah berserta kemudahan lain akan dibina dengan nilai keseluruhan projek RM28 juta.

Katanya, pada masa yang sama, sebanyak RM2.04 juta ringgit turut diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan sembilan buah sekolah di dalam DUN Ayer Molek.

“Dalam aspek kesihatan pula, hampir RM300,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf Klinik Kesihatan Ayer Molek demi keselesaan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Ab Rauf berkata, perkongsian maklumat daripada rakyat hasil pendekatan program ziarah kasih, lawatan dari rumah ke rumah serta turun padang sepanjang WRUR Ayer Molek tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah banjir dan jalan masuk yang belum diturap dengan sempurna.

“Atas sebab itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan di kawasan Ayer Molek telah dan akan terus dilaksanakan dengan kos mencecah RM220,000. Ini adalah tekad Kerajaan Negeri, apabila ada aduan rakyat, apa boleh disegerakan, kita segerakan. Kita akan usahakan sebaik mungkin

“Umpamanya, melalui Skim Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), seramai lapan penerima di DUN Ayer Molek telah menerima bantuan baik pulih rumah melibatkan peruntukan sebanyak RM160,000, manakala seorang lagi penerima menerima bantuan bina baharu rumah dengan kos sebanyak RM90,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post WRUR PARLIMEN HANG TUAH JAYA CAPAI MATLAMAT, SELESAI 603 DARIPADA 907 ADUAN
Next post RUMAH WARISAN JAWA: NADI ILMU, LAMBANG PERPADUAN KOMUNITI JAWA