
GASING PANGKAH, KOMUNITI JAWA TARIK PERHATIAN TOK RAOP
AYER MOLEK 10 Mei – Peruntukan berjumlah RM700,000 disalurkan bagi terus memelihara permainan gasing pangkah dan melaksanakan aktiviti bagi terus memperkasakan komuniti Jawa di Dewan Udangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tertarik dengan kesepakatan komuniti Jawa di Ayer Molek yang masih teguh memelihara adat serta warisan turun-temurun mereka sehingga ke hari ini.
“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi pelaksanaan Projek Rumah Warisan Jawa yang dijangka akan bermula pada akhir Jun 2026 nanti.
“Bukan itu sahaja, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi menaik taraf Gelanggang Gasing Kampung Pengkalan Renggam,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek.
Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Ab Rauf percaya usaha ini bukan sahaja mampu memelihara permainan tradisional warisan masyarakat, malah berpotensi mengangkat Ayer Molek sebagai antara lokasi pelancongan budaya yang unik dan mempunyai identitinya tersendiri di negeri Melaka.
Terdahulu beliau singgah ke Pertandingan Gasing dan Penyampaian Peruntukan Naik Taraf Gelanggang Gasing Pangkah Delima Kampung Pengkalan Renggam daripada MOTAC.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


