Sorting by

×

24H ULTRAMARATHON: USIA BUKAN PENGHALANG TAMATKAN LARIAN LEBIH 100KM

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

DUYONG 11 Mei – Minat mendalam terhadap dunia larian serta semangat luar biasa untuk mengatasi batas diri menjadi pemangkin buat dua peserta menamatkan cabaran dalam Melaka 24H Ultramarathon Edisi Ke-3 yang diadakan di Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Walaupun berdepan kecederaan dan faktor usia, kedua-dua peserta tetap membuktikan ketahanan fizikal serta mental apabila berjaya menamatkan larian ultra sejauh lebih 100 kilometer (km) dalam tempoh 24 jam pada program bersempena Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah

Peserta dari Filipina Mo Firdaus, 55, mengakui penyertaannya kali ini cukup bermakna selepas sekian lama tidak aktif dalam acara larian kompetitif.

Menurutnya, kali terakhir dia aktif menyertai larian adalah pada 2019 sebelum terpaksa berhenti akibat beberapa kecederaan dialami.

“Ini kali pertama saya sertai acara larian di Malaysia. Sebelum ini saya memang banyak sertai larian tetapi saya berhenti sejak 2019.

“Beberapa bulan lalu saya mengalami kecederaan plantar fasciitis dan masalah pada kaki kanan, jadi sangat sukar untuk saya berlatih seperti biasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, cabaran semakin dirasai apabila dia mengalami kecederaan ‘hamstring’ seawal kilometer ke-21, namun tetap menggagahkan diri meneruskan larian sehingga tamat.

“Pada mulanya saya hanya sasarkan 80km, tetapi apabila berjaya capai jarak itu, saya fikir saya perlu teruskan berlari lebih jauh.

“Saya tidak sangka selepas lama tidak sertai acara seperti ini, kali ini saya mampu habiskan larian sejauh 130km dalam tempoh 24 jam,” katanya yang mempunyai dua anak perempuan kembar berusia 12 tahun.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 7.38.50 PM
MO FIRDAUS

Sementara itu, peserta dari Pahang, Loh Lin Fah, 56, berkata acara marathon sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia sebelum ini pernah menyertai acara sama dan berjaya mencatat peningkatan prestasi apabila menamatkan larian sejauh 139 kilometer dalam tempoh 24 jam pada edisi kali ini.

“Ini memang hobi saya. Saya buat latihan setiap hari dan selalu berlari satu ‘loop’ kira-kira 1.5km.

“Sebelum ini saya pernah sertai UAM iaitu ‘track run’ di stadium tertutup dengan jarak trek 400 meter dan ketika itu saya berjaya capai 131km. Hari ini saya berjaya catat 139km, ini rekod peribadi terbaik saya,” katanya.

Tambah wanita itu, cabaran utama sepanjang perlumbaan adalah cuaca panas selain perlu memastikan tahap stamina sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Saya bukan hanya sertai endurance ultra, tetapi juga road ultra, marathon dan cheer run. Untuk kekalkan stamina, saya konsisten berlatih sejak berusia 49 tahun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata ibu kepada seorang anak itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

574
Kongsi :
Previous post SENTUHAN MAGIS URUTAN SARAF TIARA
Next post MPAG PROMOSI PULAU SEBANG SENTRAL SEBAGAI TERMINAL PENGANGKUTAN BERSEPADU