Sorting by

×

BOMBA MELAKA KENDALI 5,162 OPERASI KECEMASAN SEPANJANG 2025

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

LENDU 13 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengendalikan sebanyak 5,162 operasi kecemasan sepanjang tahun lalu sekali gus membuktikan komitmen tinggi pasukan ‘wira merah’ demi rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, yang lebih membanggakan, statistik itu menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya, mencerminkan kecekapan dan komitmen anggota bomba dalam mengurus pelbagai situasi kecemasan.

Menurut beliau, daripada keseluruhan operasi tersebut, sebanyak 1,594 kes membabitkan kebakaran manakala selebihnya melibatkan operasi menyelamat, bantuan bencana, kemalangan dan kecemasan lain.

“Ini jelas membuktikan keberkesanan tindakan pencegahan, selain peningkatan tahap kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan.

“Kerajaan Negeri menghargai komitmen dan pengorbanan anggota bomba yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Sekalung Budi Anggota dan Pesara Bomba Parlimen Masjid Tanah di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta Pengarah JBPM Melaka, Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kekuatan 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan 457 anggota di seluruh negeri turut menjadi tulang belakang kepada kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Katanya, daripada jumlah itu, 40 anggota ditempatkan di BBP Masjid Tanah yang sentiasa bersedia mengendalikan situasi kecemasan di kawasan sekitar.

“Peranan anggota bomba semakin mencabar dengan perubahan cuaca ekstrem dan risiko bencana yang tidak menentu. Justeru, kekuatan sedia ada ini amat penting bagi memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.

“Pengorbanan anggota bomba tidak wajar diukur dengan angka semata-mata kerana setiap operasi melibatkan keberanian dan komitmen tinggi dalam melindungi nyawa serta harta benda rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS INISIATIF PRODUK PELANCONGAN PERCUMA KEPADA PESARA