
MINDEF TINGKAT PERUNTUKAN WBL ATM KEPADA HAMPIR RM10 JUTA, SASAR 1,500 ANGGOTA
SUNGAI UDANG 15 Mei – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperluaskan pelaksanaan Program Work-Based Learning (WBL) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini dengan peningkatan peruntukan hampir RM10 juta melibatkan sasaran penyertaan seramai 1,520 anggota ATM.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program berkenaan merupakan inisiatif strategik kementerian dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan modal insan warga ATM melalui pengiktirafan pengalaman dan kompetensi anggota kepada kelayakan akademik.
Menurut beliau, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan latihan di tempat kerja itu dilaksanakan tanpa menjejaskan tugas hakiki anggota tentera.
“Ramai anggota ATM memasuki perkhidmatan hanya dengan kelayakan SPM, namun selepas berkhidmat lebih 20 tahun mereka sebenarnya mempunyai pengalaman, kemahiran dan kecekapan yang tinggi.
“Tetapi semua itu sebelum ini tidak diiktiraf secara formal oleh pasaran kerja dan sebab itu program WBL diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan terhadap kompetensi mereka.
“Kerajaan beri peruntukan RM3 juta tahun lalu yang telah dimanfaatkan oleh 461 anggota dan tahun ini kita tambah kepada RM9.9 juta yang akan memberi peluang kepada 1,520 anggota ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program WBL Kementerian Pertahanan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, hari ini.
Hadir sama, Panglima Tentera Laut yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara ATM bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan City University Malaysia sebagai simbol pengukuhan kerjasama strategik dalam pelaksanaan Program WBL.
Dalam majlis itu, Menteri Pertahanan turut menyampaikan Surat Perakuan Tamat Pengajian kepada 30 peserta Kohort 1/2025 yang telah memulakan pengajian pada Jun 2025, selain menyampaikan Surat Tawaran Pengajian kepada 20 peserta baharu Kohort 2/2026 yang dijadualkan memulakan pengajian pada Jun 2026.
Mohamed Khaled berkata program itu juga bertujuan meningkatkan kebolehpasaran anggota ATM sebagai persediaan kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan selain membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga tentera.
Katanya, 461 anggota ATM telah menerima manfaat daripada program WBL melibatkan 231 anggota di Universiti Teknologi MARA dan 230 anggota di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, dengan kesemua peserta dijangka bergraduasi pada November dan Disember tahun ini.
“Kita berharap mereka akan ada kesedaran untuk ambil dan rebut peluang serta manfaat ini kerana mereka tidak perlu menjalani peperiksaan, yang mana institusi pengajian tinggi ini akan menilai dan jika ada, mungkin ada jurang yang perlu diatasi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat ini ATM menerima banyak permohonan daripada universiti awam dan swasta untuk menyertai program WBL.
Katanya, kementerian akan berusaha memastikan setiap anggota ATM yang memiliki pengalaman serta kemahiran setara dengan standard ditetapkan universiti berpeluang memperoleh pengiktirafan akademik
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


