Sorting by

×

WRUR KOTA LAKSAMANA: PILIHAN RAYA ATAU TIDAK, TUGAS MEMBELA RAKYAT TETAP BERJALAN

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KOTA LAKSAMANA 17 Mei – Menghampiri tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hujung tahun ini, semakin ramai yang berbicara mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah tidak kurang juga ada pihak mengaitkan pelbagai program turun padang disusun Kerajaan Negeri sebagai petanda tarikh PRN Melaka sudah semakin hampir.

Menepis persepsi itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tugas membela rakyat menjadi tanggungjawab utama setiap pemimpin pada setiap masa, bukan bermusim atau ketika PRN sahaja.

Mengambil contoh penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) iaitu program turun padang bagi menyantuni dan menyelesaikan isu setempat di setiap DUN, beliau berkata ia sudah dilaksanakan secara konsisten sejak tahun lalu lagi dan kini memasuki siri ke-16 di DUN Kota Laksamana.

“Bagi saya, kepimpinan bukan tentang siapa paling lantang bercakap, tetapi siapa paling banyak menyelesaikan masalah rakyat. Saya percaya, nanti pasti ada yang mula berbisik..ini tanda PRN sudah dekat ramai-ramai turun padang. Jangan begitu tuan puan biar saya betulkan persepsi ini.

“Alhamdulillah kali ini kita dapat bersama-sama berkumpul di DUN Kota Laksamana bagi meneruskan siri WRUR, sekali gus membuka tirai sebuah komitmen besar kerajaan dalam menyantuni denyut nadi rakyat, sempena WRUR Rakyat Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Kota Laksamana di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC( Pay Teck, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Penyelaras Program WRUR.

Yang turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri,  Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Ab Rauf berkata, kehadiran beliau bersama kepimpinan Kerajaan Negeri pada program itu adalah untuk menyelami sendiri denyut nadi rakyat, melihat realiti kehidupan sebenar dan mendengar terus suara lebih 200,000 warga Parlimen Kota Melaka.

“Kita bukan datang sehari dua, tetapi akan berkampung di Parlimen Kota Melaka ini selama lebih kurang empat minggu. Program WRUR di DUN Duyong yang dikendalikan oleh YB Datuk Noor Helmy Abdul Halem telah selesai dengan jayanya pada tahun lalu.

“Bermula di WRUR DUN Kota Laksamana sebagai pembuka tirai (17 Mei hingga 23 Mei), DUN Bandar Hilir  (31 Mei hingga 6 Jun), disusuli DUN Kesidang (7 Jun hingga 13 Jun) dan kemuncaknya akan berakhir di DUN Telok Mas (14 hingga 20 Jun),” katanya.

Menurut Ketua Menteri sepanjang empat minggu di Kota Melaka dijangka lebih 350 program akan digerakkan melibatkan pelbagai pengisian yang dekat di hati rakyat, daripada kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan, belia, usahawan hinggalah penyelesaian isu setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post NOSTALGIA ‘RUMAH DALAM AIR’