
TERNAK LEMBU ‘IC BIRU’
MACHAP JAYA 18 Mei – Berpegang kepada tekad mahu memastikan pembeli memperoleh daging lembu segar dengan harga berpatutan dan berkualiti kini, S. Saravana Kumar mampu buktikan apabila dia kini menjadi antara penternak lembu terbesar di Melaka.
Kira-kira 16 tahun lalu, Saravana Kumar, 51, yang ketika itu bekerja sebagai jurutera awam hanya menternak tiga ekor lembu sahaja kerana minat selain menjadikan ia sebagai aktiviti sampingan.
Menurut anak kelahiran Kuala Sungga itu, dengan bermodalkan gaji yang diperoleh dia kemudian mengembangkan ternakan sehingga kini mempunyai lebih 400 ekor lembu pelbagai baka selain 200 ekor kambing serta turut menternak kerbau.
“Permintaan diterima dari semasa ke semasa amat baik malah boleh dikatakan kami adalah pembekal yang menawarkan harga rendah berbanding harga pasaran.
“Permintaan selalunya akan bertambah apabila tiba musim perayaan dan cuti kerana banyak majlis perkahwinan berlangsung. Kebiasaan setiap kali hari raya korban sekurang-kurangnya 150 ekor lembu akan terjual malah permintaan diterima sehingga ke luar Melaka.
“Memang tidak sangka akan berada ditahap ini apa yang membuatkan saya gembira dan puas apabila dapat melihat orang kampung membeli daging lembu segar dengan harga mampu milik tanpa perlu mengeluarkan belanja yang mahal,” katanya ketika ditemui di ladang SK Farm, Tebong Stesen.
Menurutnya, dalam memastikan daging lembu yang dipasarkan berkualiti kedua-dua ladang miliknya berada dibawah pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri.
“Lembu di SK Farm semuanya ‘ic biru’ kami tidak ada membawa masuk lembu dari luar seperti kebiasaan dari Thailand selain risiko agak tinggi untuk membawa masuk lembu luar.
“Dalam memastikan lembu di SK Farm sentiasa berada dalam keadaan baik begitu juga ladang kami dipantau oleh JPV,” kata bapa kepada dua anak itu.
Menurutnya, dia tidak menyangka usahanya itu mendapat perhatian apabila diangkat sebagai Ikon Usahawan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
“Kejayaan ini tidak datang dengan mudah dan ini semua juga atas sokongan hebat daripada isteri A. Prema, 41 dan dua anak saya yang sama-sama membanting tulang mengusahakan penternakan ini.
“Hasrat saya ingin mengembangkan lagi penternakan ini kerana memandangkan negara masih lagi bergantung kepada bekalan import untuk memenuhi pasaran tempatan.
“Namun begitu cabaran terbesar penternak terutamanya yang mengusahakan secara fidlot adalah kenaikan harga makanan walaupun begitu saya akan cuba pastikan harga yang ditawarkan tetap berpatutan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

