Sorting by

×

PPKI MELAKA TERIMA SUMBANGAN PERALATAN BAKERI BERNILAI RM40,000

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DUYONG 19 Mei – Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) menyumbangkan peralatan bakeri dan pastri bernilai hampir RM40,000 bagi program lanjutan kemahiran untuk anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Sumbangan itu bagi membantu anak-anak istimewa di PPKI bersinar dalam bidang pembuatan kek dan pastri.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pelajar PPKI mengembangkan kemahiran sedia ada selain memberi pendedahan dalam bidang keusahawanan supaya mereka mampu berdikari selepas tamat persekolahan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, pelajar PPKI memiliki bakat dan kemahiran dalam penyediaan makanan seperti kek, roti dan pastri, namun mereka memerlukan platform yang sesuai untuk terus mengembangkan potensi tersebut.

“Jadi di sini kami sediakan ruang untuk mereka mengembangkan kemahiran mereka dan pada masa sama mempelajari asas perniagaan. Kami di peringkat Japerun Duyong akan membantu dari segi jualan, mengasah bakat serta pengurusan perniagaan sehingga mereka mampu berdikari dan berniaga sendiri.

“Kami juga menerima tawaran daripada beberapa hotel terkemuka yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka, dengan syarat mereka membina keyakinan diri untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Alatan Bakeri Untuk Kelas PPKI oleh Yayasan Mualaf Malaysia di Kiosk MBMB Perkampungan Hang Tuah, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy memaklumkan, untuk permulaan seramai 20 anak-anak istimewa akan terlibat dalam program yang dijangka bermula pada 6 Jun depan dengan bimbingan guru-guru PPKI.

Ujar beliau, antara sekolah yang memberikan komitmen adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh, SMK Ayer Molek dan SMK Tun Teja.

“Kami akan meningkatkan dari semasa ke semasa. Untuk peringkat awal ini, kita ingin melihat kesesuaian pelaksanaan program dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan membantu golongan berkeperluan khas sehingga mereka mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dua inisiatif akan mula beroperasi di Duyong pada Jun ini iaitu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi pendidikan awal serta program pendidikan lanjutan selepas tamat persekolahan yang melibatkan golongan OKU berusia antara 17 hingga 19 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

134
Kongsi :
Previous post TVET TAHFIZ: DUNIA DAPAT, AKHIRAT TAK RUGI