Sorting by

×

WRUR KOTA LAKSAMANA: NADI MAIN PERANAN PENTING TANGKIS MAKLUMAT PALSU

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Mei – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat berhubung dasar dan inisiatif disediakan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong berkata, ia penting memandangkan pada era teknologi dan digitalisasi masa kini, penyebaran maklumat palsu menjadi antara cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Justeru, beliau mahu menggerakkan seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di bawah DUN Kota Laksamana agar bersama membantu mempromosikan peranan NADI kepada komuniti setempat.

“Disebabkan maklumat palsu terlalu banyak, ramai kini lebih mempercayai berita yang tidak benar di media sosial berbanding maklumat rasmi oleh kerajaan.

“Sebab itulah NADI ini perlu memainkan peranan penting dalam menyebar luas segala maklumat sebenar supaya rakyat lebih cakna dan tidak mudah terpedaya dengan berita yang tidak diketahui sumbernya.

“Pada masa sama, saya percaya kewujudan NADI ini juga membawa manfaat besar kepada komuniti termasuk menyediakan latihan berkaitan teknologi yang boleh dimanfaatkan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian NADI Lorong Pandan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kota Laksamana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Chee Leong yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, setakat ini hanya terdapat satu NADI di bawah DUN Kota Laksamana iaitu di Lorong Pandan.

Disebabkan kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, beliau berharap agar kerajaan menambah satu lagi NADI di DUN Kota Laksamana agar manfaatnya dapat dirasai lebih ramai rakyat di kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post WRUR KOTA LAKSAMANA: ZIARAH KASIH BAWA SINAR BUAT RAKYAT MEMERLUKAN