Alasan ikut kawan, empat penagih dicekup AADK

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 23 Jan. – Strategi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka yang tidak berputus asa dengan melakukan dua serbuan di tiga lokasi ‘panas’ penagihan dadah membolehkan empat penagih dicekup, hari ini.

Operasi Aduan Awam itu dijalankan bermula 10 pagi hingga 5 petang membabitkan tiga kawasan di Bukit Lintang, Tambak Paya dan Ayer Molek bagi mencegah penyalahgunaan dadah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri, Norliya Darus berkata, peringkat awal operasi dari jam 10 pagi ke 12 tengah hari tidak mengesan penagih.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri Melaka, Norliya Darus. Foto kredit AADK

Bagaimanapun katanya, ketiga-tiga lokasi itu dikenal pasti sebagai ‘zon merah’ bagi melakukan aktiviti penagihan dadah.

“Jadi kita buat strategi risikan sebelah petang dan akhirnya berjaya mengesan empat orang yang disyaki (OYDS) penagih, berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah bengkel motosikal.

“Sejak tahun lalu kita sudah terima aduan berkaitan penagihan dadah di lokasi itu.

“Anggota AADK Melaka Tengah juga sudah dua kali buat operasi ke lokasi ini, tetapi masih berlaku lagi,” katanya dihubungi petang tadi.

Norliya berkata, semua OYDS yang ditahan positif dadah jenis Syabu hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan.

“Antara alasan diberikan OYDS ini hanyalah untuk suka-suka selain mengikut rakan.

“Bagaimanapun, ada antara mereka baharu terjebak dalam najis dadah dan ada yang mempunyai rekod menagih sebelum ini.

“Mereka ditahan 24 jam di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan direman selama 14 hari sehingga 5 Februari depan,” katanya.

ALAT untuk menghisap dadah yang dijumpai anggota AADK semasa serbuan. Foto kredit AADK

Sementara itu, Norliya menjelaskan tahun ini pihaknya menyasarkan untuk ‘menghijaukan’ dua lokasi panas penagihan dadah iaitu di Masjid Tanah dan Krubong.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir dan Pasca Covid capai objektif
Next post Ebit Lew sumbang tablet untuk tiga anak autisme
Ubah saiz-+=