
MAIM BANTU MANGSA KEBAKARAN JANA SEMULA PENDAPATAN
TANJUNG BIDARA 18 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menyediakan kemudahan mesin jahit bagi membantu mangsa kebakaran Samsiah Hassan, 48, kembali menjana pendapatan menggunakan kemahiran yang dimilikinya.
Pegawai Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, mesin jahit milik Samsiah musnah selepas kediamannya di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan, Masjid Tanah, musnah dalam kebakaran jam 9 malam 24 Mei lalu.
“Berdasarkan maklumat awal dua jenis mesin jahit diperlukan bagi membolehkan Samsiah, menyiapkan tempahan dan juga perkhidmatan menjahit yang lain daripada pelanggan dalam kalangan penduduk sekitar.
“Kami akan usahakan kemudahan diperlukan selepas kediaman baharu Samsiah siap dibina, kita akan bantu untuk membolehkan dia menjana semula pendapatan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melawat kediaman Samsiah di Kampung Balik Hutan, di sini, hari ini.
Program ziarah itu turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Pegawai Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Pengarah Eksekutif Datuk TPr. Murad Husin serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Yang turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah Mohd Hafith Alias; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Azizan Daud serta Setiausaha Japerun Tanjung Bidara Ahmad Warid Ismail.
Md Rawi berkata, pada majlis sama MAIM turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada Samsiah bagi digunakan untuk membeli pelabot dan kelengkapan kediaman baharunya nanti.
“Terdahulu MAIM juga sudah menyerahkan sumbangan awal RM300 kepada mangsa, kita juga akan melihat keperluan lain seperti anak-anak masih bersekolah, jika ada permohonan dan layak kita tidak keberatan untuk membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


