Sorting by

×

PERUNTUKAN RM300,000 E-MIKRO PERKASA KOPERASI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Kerajaan Negeri terus memperkukuh peranan koperasi sebagai pemangkin ekonomi rakyat menerusi peruntukan RM300,000 bagi Program Bantuan Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro (E-Mikro) tahun ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Mustafa Kamal Mohd Nor berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Melaka dalam membantu koperasi mikro meningkatkan kapasiti perniagaan serta daya saing mereka.

Katanya, inisiatif tersebut diumumkan pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2025 (MAGKOP Melaka 2025) yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, pada Sabtu lalu.

“Peruntukan sebanyak RM300,000 melalui Program E-Mikro yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini membuktikan kesungguhan dalam memastikan gerakan koperasi terus berkembang dan memberi manfaat kepada anggota serta komuniti setempat.

“Bantuan ini diharap dapat membantu koperasi khususnya dalam kluster mikro memperkukuh operasi, meningkatkan produktiviti dan meneroka peluang perniagaan baharu,” katanya menerusi kenyataan sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad.

Terdahulu, majlis itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan dihadiri wakil kira-kira 30 koperasi terbaik Negeri Melaka serta 10 koperasi harapan.

Turut hadir, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis sama, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Negeri Melaka 2025 dan menerima wang tunai RM2,000 berserta trofi penghargaan.

Turut diadakan, pelancaran buku profil 30 koperasi terbaik negeri Melaka yang menghimpunkan kejayaan dan pencapaian koperasi-koperasi cemerlang di negeri ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, MAGKOP Melaka dianjurkan sebagai platform menghargai pencapaian koperasi yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024 selain mengangkat sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Pengiktirafan seperti ini penting bagi menyuntik semangat kepada koperasi untuk terus berinovasi, meningkatkan tadbir urus dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

“Malah, penganjuran Program Bual Bicara ‘Leaders Talk’ turut memberi peluang kepada warga koperator menyuarakan pandangan serta bertukar idea secara langsung dengan kepimpinan kerajaan negeri dan SKM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

516
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU MANGSA KEBAKARAN JANA SEMULA PENDAPATAN
Next post KHPM EDISI MELAKA SASAR 50,000 PENGUNJUNG – KUSKOP