
RUMAH BAHARU MANGSA KEBAKARAN DIJANGKA SIAP DALAM TEMPOH SEBULAN
TANJUNG BIDARA 19 Jun – Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bekerjasama bagi membantu Mohd Fairus Hamzah, 53, dan isteri Samsiah Hassan, 48, untuk berpindah masuk ke kediaman baharu mereka secepat mungkin.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin berkata, projek bina baharu itu adalah bagi menggantikan rumah milik pasangan berkenaan di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan, Masjid Tanah yang musnah dalam kebakaran jam 9 malam 24 Mei lalu.
Katanya, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu LPM bertindak sebagai agensi yang membina kediaman, manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula membantu proses membersihkan tapak.
“Ini adalah konsep menerusi CSR kita jalankan, semua agensi ada peranan masing-masing, malah Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga membantu pasangan ini dengan menghulurkan sumbangan mengikut kesesuaian atau keperluan mereka selepas rumah baharu siap nanti.
“Ahamdulillah permohonan pasangan ini sudah diluluskan, jadi kita teruskan dengan pembinaan kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dilengkapi tiga bilik, bilik air, ruang tamu dan dapur yang agak selesa dengan kos RM70,000,” katanya selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melawat pasangan berkenaan, semalam.
Program ziarah itu turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Pegawai Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Yang turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah Mohd Hafith Alias; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Azizan Daud serta Setiausaha Japerun Tanjung Bidara Ahmad Warid Ismail.
TPr. Murad berkata, projek bina baharu itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga ke empat minggu bergantung kepada keadaan termasuk cuaca.
“Bagi kawasan Masjid Tanah setakat ini kita sudah laksanakan empat projek bina baharu melibatkan permohonan rumah terbakar dan kediaman uzur. Semua ini adalah usaha murni Kerajaan Negeri ditadbir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam menyantuni rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


