Sorting by

×

KETUA MENTERI UMUM BERITA GEMBIRA UNTUK WARGA SMK TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TELOK MAS 19 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas bakal menerima dua unit televisyen pintar (Smart TV) dan pendingin hawa hasil sumbangan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Pengetua SMK Telok Mas Zulkifli Md Daud berkata, berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri ketika melawat sekolah berkenaan dan dianggap amat membantu dalam menyediakan suasana pembelajaran lebih kondusif, selesa serta sesuai dengan perkembangan dunia digital semasa.

“Pastinya televisyen pintar ini amat diperlukan bagi memperkukuh pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran selaras dengan keperluan pendidikan digital masa kini.

“Mewakili warga SMK Telok Mas saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas sumbangan ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri yang hadir merasmikan mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut Zulkifli, apa yang menarik adalah perkongsian Ketua Menteri  bersama pelajar kerana apa yang disampaikan mengandungi unsur motivasi dan suri teladan boleh menjadi panduan untuk menjadi insan berjaya dlam pelbagai bidang.

“Pesanan ini amat penting dalam usaha melahirkan generasi yang berdaya saing, berwawasan dan mampu menjadi ikon kepada masyarakat pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS REALISASI HASRAT RAKYAT