Sorting by

×

WRUR TELOK MAS: MAIM TURUN PADANG, BAWA SINAR HARAPAN UNTUK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 19 Jun – Menyelami sendiri kesusahan dan keperluan rakyat terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri apabila seramai 10 penerima bantuan terdiri daripada golongan asnaf, mualaf, pesakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU) disantuni.

Inisiatif menyantuni insan kurang bernasib baik itu digerakkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Ziarah Kasih dan Santunan Masyarakat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program rutin yang diadakan pada setiap penganjuran WRUR itu bertujuan mengenal pasti keperluan sebenar golongan sasar selain menyalurkan bantuan yang bersesuaian.

Menurut beliau, pendekatan turun padang membolehkan pihaknya bersama agensi melihat sendiri keadaan kehidupan penerima bantuan serta mendapatkan maklum balas secara terus berhubung isu yang mereka hadapi.

“Sesi ziarah ini penting kerana dari sini Kerajaan Negeri dapat menerima pelbagai maklum balas daripada penerima bantuan, termasuk keperluan tambahan mereka seperti permohonan membaiki rumah dan lain-lain yang boleh dipertimbangkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan ziarah asnaf di Taman Permatang Pasir Permai, di sini, hari ini.

Turut bersama, Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa kediaman penerima bantuan berada dalam keadaan uzur dan tidak lagi selamat untuk diduduki, sekali gus memerlukan tindakan segera.

“Antara yang kita temui ialah rumah yang sudah tidak sesuai didiami. Kita akan berusaha mendapatkan kediaman baharu menerusi agensi berkaitan bagi memastikan mereka dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

“Sebelum ini terdapat isu pemilikan tanah yang menghalang proses bantuan dilaksanakan lebih awal. Namun saya dimaklumkan perkara itu telah diselesaikan dan kita akan cuba membantu mereka secepat mungkin,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik selain memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kebajikan mereka sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post LTAM SEDIA TERIMA LEBIH BANYAK PENERBANGAN BAHARU – KM
Next post STPM 2025: MELAKA CATAT PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN