Sorting by

×

LTAM SEDIA TERIMA LEBIH BANYAK PENERBANGAN BAHARU – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KESIDANG 19 Jun – Kecekapan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam membuktikan kemudahan itu bersedia menerima pertambahan laluan dan penerbangan komersial pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun LTAM hanya mempunyai satu pintu pelepasan dan ketibaan, pengurusan operasi yang cekap membolehkan penerbangan antarabangsa dikendalikan dengan lancar mengikut piawaian ditetapkan.

Katanya, keupayaan lapangan terbang itu dapat dilihat menerusi tempoh pusing ganti (turnaround) pesawat yang hanya mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.

“Saya melihat bahawa ini merupakan satu perkhidmatan bertaraf antarabangsa kerana pesawat yang tiba hanya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk urusan pusing ganti sebelum berlepas semula.

“Walaupun lapangan terbang kita agak kecil namun dengan koordinasi terbaik daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports operasi dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Lawatan Kerja Menyambut Ketibaan Penumpang Penerbangan Wings Air Pekanbaru – Melaka di LTAM Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kecekapan operasi yang ditunjukkan LTAM turut menjadi faktor menarik minat beberapa syarikat penerbangan untuk mempertimbangkan Melaka sebagai destinasi dan hab penerbangan baharu.

“Kerancakan ekonomi Melaka telah menarik minat ramai syarikat penerbangan untuk datang melihat potensi negeri ini sebagai hab pelancongan dan hab penerbangan.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memasarkan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara dan pada masa sama memperkukuhkan jaringan penerbangan ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post MELAKA CADANG BUKA LALUAN PENERBANGAN KE BATAM, PULAU PINANG DAN KOTA BHARU
Next post WRUR TELOK MAS: MAIM TURUN PADANG, BAWA SINAR HARAPAN UNTUK ASNAF