Sorting by

×

MELAKA CADANG BUKA LALUAN PENERBANGAN KE BATAM, PULAU PINANG DAN KOTA BHARU

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KESIDANG 19 Jun – Kerajaan Negeri bercadang untuk membuka laluan ke tiga lokasi membabitkan Batam, Indonesia; Kota Bharu, Kelantan dan Pulau Pinang pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu didorong dengan prestasi memberangsangkan pembukaan semula laluan penerbangan ke Pekanbaru pada 10 Jun lalu.

Katanya, beliau akan berbincang dengan syarikat penerbangan yang menunjukkan minat positif dalam membuka laluan penerbangan dua hala dalam masa terdekat.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam semakin hampir muncul sebagai hab penerbangan baharu negara apabila beberapa syarikat penerbangan sedang dalam rundingan untuk membuka laluan terus ke negeri ini.

“Kita menerima perkembangan positif menerusi penerbangan terus Pekanbaru-Melaka yang mula beroperasi pada 10 Jun lalu yang mana dalam tempoh kurang dua minggu, laluan tersebut telah membawa seramai 513 penumpang dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka, sekali gus membuktikan potensi besar LTAM sebagai pintu masuk utama pelancong antarabangsa ke negeri ini.

“Saya melihat ada beberapa lagi penerbangan yang sedang berunding untuk menjadikan Melaka sebagai hab penerbangan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Lawatan Kerja Menyambut Ketibaan Penumpang Penerbangan Wings Air Pekanbaru – Melaka di LTAM Batu Berendam, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, cadangan pembukaan lebih banyak laluan udara itu diyakini mampu memperkukuh sektor pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerancakan ekonomi Melaka telah menarik minat ramai syarikat penerbangan untuk datang melihat sendiri bagaimana Melaka boleh dijadikan hab pelancongan dan hab penerbangan.

“Daripada jumlah keseluruhan 513,000 pelancong Indonesia yang datang ke Melaka tahun lalu, saya percaya rangkaian penerbangan baharu ini akan meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Lebih menarik, penerbangan dari Pekanbaru bukan sahaja membawa pelancong, malah ramai yang datang khusus untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar di Melaka, sekali gus merancakkan sektor pelancongan kesihatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1323
Kongsi :
Previous post DI USIA 89 TAHUN, KHALIL TERIMA KUNJUNGAN ISTIMEWA KETUA MENTERI
Next post LTAM SEDIA TERIMA LEBIH BANYAK PENERBANGAN BAHARU – KM