Sorting by

×

PESAN ARWAH AYAH PEMBAKAR SEMANGAT NURFARIESYA RAIH PNGK 4.00

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TELOK MAS 20 Jun – Kehilangan ayah tercinta akibat sakit jantung seminggu sebelum peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hampir mematahkan semangat Nurfariesya Nasywa Hamedee untuk meneruskan pelajaran.

Namun, pesanan terakhir arwah bapanya yang meminta dia belajar bersungguh-sungguh kerana percaya anaknya mempunyai potensi besar menjadi titik perubahan dalam hidup gadis berusia 21 tahun itu.

Hasil kegigihan dan tekad yang dibina sejak kehilangan insan tersayang, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah itu berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Anak ketiga daripada empat beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu mengakui tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang tersebut kerana menjangkakan PNGK sekitar 3.92 sahaja.

“Saya rasa gembira tetapi pada masa sama terkejut dan sebak sebab memang tidak sangka dapat 4.00. Ketika ayah meninggal dunia, saya hilang semangat dan pernah terfikir untuk berhenti belajar serta terus bekerja.

“Tetapi ayah ada meninggalkan pesan kepada ibu supaya menyuruh saya belajar rajin-rajin kerana dia percaya saya ada potensi. Sejak itu saya paksa diri untuk terus kuat dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM, di SMKA Sharifah Rodziah, di sini, semalam.

Terdahulu Nurfariesya Nasywa menerima sijil penghargaan pada Majlis Apresiasi STPM 2025 Negeri Melaka yang disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah di Dewan As-Sharifah SMKA Sharifah Rodziah.

Nurfariesya berkata, minat mendalam terhadap bidang syariah sejak tingkatan satu turut menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk terus mengejar impiannya.

“Sepanjang pengajian STPM saya mengambil lima subjek iaitu Bahasa Arab, Usuluddin, Syariah, Sejarah dan Pengajian Am. Saya sangat minat bidang syariah kerana ia berkaitan dengan hukum Allah. Dari situ saya tertarik untuk mendalaminya dengan lebih serius.

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi peguam syariah dan baru-baru ini saya selesai menghadiri temu duga bagi program undang-undang di Universiti Malaya (UM). Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Katanya, meneruskan pelajaran sehingga tingkatan enam adalah platform terbaik bagi pelajar yang berazam melanjutkan pengajian ke universiti.

“Sebenarnya STPM memberi peluang yang besar untuk berjaya dan masuk ke universiti. Ia mungkin mengambil masa tiga semester tetapi ia adalah laluan sangat baik.

“Kalau ditanya tentang tips belajar, saya rasa semuanya bergantung kepada usaha masing-masing. Jika rajin, Insya-Allah boleh berjaya dan paling penting, kena sentiasa berpegang kepada Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post 1,000 BERENTAP BURU GELARAN RAJA JORAN CRYSTAL BAY
Next post WRUR TELOK MAS LAHIR PELAPIS SENI WARISAN MELAKA