
WRUR TELOK MAS LAHIR PELAPIS SENI WARISAN MELAKA
TELOK MAS 20 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjadi antara platform dalam melahirkan lebih ramai pelapis seni dan warisan Melaka.
Ia dizahirkan menerusi penganjuran Bengkel Dondang Sayang dan Tarian Zapin anjuran Institut Warisan Melaka (INSWA) bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, pada Khamis.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bengkel itu disertai seramai 150 pelajar daripada sembilan buah sekolah di dalam DUN Telok Mas membabitkan perkongsian asas dondang sayang dan tarian zapin.
Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, penganjuran bengkel berkenaan penting bagi memastikan seni warisan negeri terus diperkasa dan diwarisi generasi muda.
“Salah satu aktiviti yang cukup istimewa sepanjang WRUR DUN Telok Mas adalah persembahan Tarian Zapin oleh 100 anak-anak Telok Mas pada majlis penutup nanti.
“Saya bersama INSWA akan terus komited untuk menggerakkan pembelajaran seni tari dan muzik secara lebih tersusun di sekolah-sekolah seluruh Melaka supaya kita dapat melahirkan lebih ramai pelapis seni warisan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan bengkel tersebut.
Abdul Razak turut menzahirkan rasa kagum dengan potensi bakat-bakat seni terpendam anak-anak DUN Telok Mas yang bukan sahaja menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program, malah turut berjaya menyerap seni dondang sayang dan zapin yang dipelajari.

Sementara itu, Pengurus Besar INSWA Drs. Mohd Nasruddin Rahman, berkata bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada siri program WRUR yang digerakkan sejak tahun lalu bermula di DUN Kuala Linggi.
Menurutnya, pelaksanaan bengkel warisan itu disesuaikan mengikut cadangan dan keperluan setiap DUN bagi memastikan seni budaya tempatan terus diperkasakan dalam kalangan generasi muda.
“Program WRUR memberi ruang kepada INSWA untuk turun padang memperkenalkan pelbagai bentuk warisan tidak ketara kepada masyarakat setempat.
“Sebelum ini kita telah melaksanakan Bengkel Nazam di DUN Air Molek dan selepas ini Bengkel Tarian Dondang Sayang pula akan diadakan di DUN Sungai Rambai. Setiap program dirangka mengikut kesesuaian dan cadangan daripada wakil rakyat kawasan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, bengkel itu turut melibatkan penyertaan ahli-ahli Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka yang bertindak sebagai tenaga pengajar dan fasilitator kepada para peserta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


