Sorting by

×

KESIDANG NADI EKONOMI BAHARU MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KESIDANG 20 Jun – Pembangunan pesat sektor komersial dan perindustrian di DUN Kesidang terus memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat menerusi penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan pelaburan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, antara perkembangan yang menjadi tumpuan ketika ini ialah pembangunan Tarcor Park yang muncul sebagai pusat perniagaan baharu dan semakin mendapat perhatian pelabur serta jenama terkenal.

Menurut beliau, kehadiran beberapa syarikat dan peruncit terkemuka di kawasan tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Tarcor Park merupakan antara pembangunan komersial baharu yang sedang berkembang pesat di kawasan Kesidang.

“Beberapa jenama terkenal sudah mula bertapak dan ada lagi syarikat yang akan membuka operasi mereka di kawasan ini pada masa akan datang,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

BUKA PELUANG PEKERJAAN ANAK MUDA

Beliau berkata, selain kehadiran jenama antarabangsa, kawasan itu juga berpotensi menerima lebih banyak pelaburan baharu yang akan diumumkan kelak.

Tambahnya, pembangunan komersial tersebut bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi kawasan, malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar khususnya golongan belia.

“Apabila lebih banyak syarikat dan perniagaan beroperasi, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan. Ini memberi ruang kepada anak-anak muda mendapatkan pekerjaan berhampiran tempat tinggal mereka tanpa perlu berhijrah ke luar kawasan,” katanya.

KAWASAN PERINDUSTRIAN BERIMPAK TINGGI

Selain sektor komersial, Allex berkata, Kesidang turut mendapat manfaat daripada perkembangan sektor perindustrian yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

Menurut beliau, kawasan sekitar Kesidang menempatkan beberapa industri berimpak tinggi termasuk syarikat semikonduktor bertaraf antarabangsa seperti Infineon Technologies yang terletak di sempadan Kesidang dan Pengkalan Batu.

Katanya, kewujudan syarikat berkenaan telah membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada ribuan penduduk tempatan dengan tawaran pendapatan yang kompetitif.

“Kita melihat ramai anak tempatan mendapat manfaat hasil peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh industri berteknologi tinggi seperti ini.

“Ada yang bekerja berhampiran rumah dan memperoleh pendapatan yang baik sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, selain Infineon, kawasan Kesidang turut menempatkan beberapa syarikat dan industri lain termasuk syarikat aeroangkasa CTRM yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

Menurutnya, gabungan pembangunan komersial dan industri menjadi faktor penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang serta berdaya tahan.

“Pembangunan bukan hanya melibatkan pembinaan bangunan atau premis baharu semata-mata, tetapi bagaimana ia mampu membawa peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan merancakkan ekonomi setempat.

“Apabila ekonomi berkembang, rakyat turut menikmati manfaatnya menerusi lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha berterusan akan terus diberikan bagi menarik pelaburan berkualiti dan pembangunan berimpak tinggi, seterusnya memastikan Kesidang kekal sebagai antara kawasan yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS LAHIR PELAPIS SENI WARISAN MELAKA