Sorting by

×

DIRAI PENUH KASIH SAYANG, LIMA PASANGAN MUALAF DISATUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KESIDANG 20 Jun – Senyuman yang terukir di wajah lima pasangan pengantin pada hari bersejarah mereka bukan sekadar melambangkan penyatuan dua hati, malah menjadi simbol penerimaan, kasih sayang dan persaudaraan dalam Islam.

Momen istimewa itu berlangsung menerusi Program Pernikahan dan Walimatul Urus Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2026 apabila kesemua pasangan pengantin diraikan dalam suasana penuh kemeriahan bersama keluarga yang hadir memberikan sokongan di Laman Kaca Tengkera, hari ini.

Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, kesemua pengantin perempuan yang diraikan bagi siri pertama merupakan golongan mualaf.

Menurutnya, program itu dianjurkan sebagai usaha memberi kegembiraan dan penghargaan kepada golongan mualaf yang sering berdepan pelbagai cabaran dalam meneruskan kehidupan selepas memeluk Islam.

“Alhamdulillah, ini adalah siri pertama tahun ini yang meraikan pasangan pengantin mualaf, majlis bermula dengan akad nikah pada sebelah pagi sebelum diteruskan dengan persandingan pada sebelah tengah hari.

“Program ini bukan sekadar majlis perkahwinan, tetapi satu usaha untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada mualaf kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Pernikahan dan Walimatul Urus Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2026 mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Mohd Nasir Wahab.

Mohd Hairulamin berkata, terdapat dalam kalangan mualaf yang menerima sokongan penuh daripada keluarga selepas memeluk Islam, namun ada juga terpaksa berdepan pelbagai cabaran untuk meneruskan kehidupan baharu mereka.

“Majlis seperti ini penting supaya mereka tidak berasa disisihkan, dipinggirkan atau diabaikan. Kita mahu mereka merasai bahawa mereka mempunyai sebuah keluarga besar dalam Islam yang sentiasa memberi sokongan.

“Kehadiran warga Balai Islam MAIM, saudara Muslim dan ahli keluarga dalam majlis ini menjadi gambaran persaudaraan Islam yang perlu terus dipupuk dan diperkukuhkan,” katanya.

Katanya, setiap individu sentiasa mempunyai peluang untuk berubah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT selagi tidak berputus asa dalam mencari kebaikan.

“Sebagai saudara Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk mendekati, membimbing dan mengeratkan silaturahim dengan mereka agar perjalanan hidup sebagai mualaf menjadi lebih mudah dan bermakna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post D’MUARA PUNGGUR KEMBALIKAN GEMILANG MEDAN IKAN BAKAR ALAI
Next post HAWANA 2026: PM ANWAR ZAHIR PENGHARGAAN MEDIA TEMPATAN BERPEGANG PADA ETIKA DAN INTEGRITI