
D’MUARA PUNGGUR KEMBALIKAN GEMILANG MEDAN IKAN BAKAR ALAI
TELOK MAS 20 Jun – Sungai Punggur, Alai yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi popular untuk menikmati hidangan ikan bakar di negeri ini kini tampil dengan wajah baharu selepas siap naik taraf sepenuhnya dengan kos RM5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, projek naik taraf itu berjaya mengembalikan fungsi kawasan tersebut sebagai pusat tumpuan sekali gus menarik kehadiran pelancong dan penduduk tempatan.
Katanya, medan ikan bakar di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu bukan sahaja tampil dengan konsep lebih menarik, bahkan kini boleh memuatkan sehingga 1,000 pelanggan dalam satu masa.
“Medan selera ini menampilkan reka bentuk berinspirasikan seni bina Inggeris yang membawa identiti baharu kepada kawasan Sungai Punggur selain menawarkan suasana lebih menarik kepada pengunjung.
“Kita juga mengekalkan lapan lot gerai ikan bakar yang dikendalikan peniaga sedia ada selain menyediakan pelbagai kemudahan termasuk surau, tandas dan ruang makan yang lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Medan Ikan Bakar D’ Muara Punggur DUN Telok Mas, di Alai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kawasan Sungai Punggur yang terletak berhadapan medan ikan bakar itu turut dinaik taraf menjadi kawasan rekreasi dan riadah bagi menambah daya tarikan lokasi tersebut.
Katanya, projek bernilai RM2 juta itu akan dilaksanakan MBMB menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
“Apabila siap nanti, kawasan ini akan dilengkapi kemudahan termasuk trek joging, wakaf berteduh dan kawasan riadah penduduk setempat yang boleh dimanfaatkan pengunjung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


