
WIRA KEBERSIHAN MELAKA TERHARU KERINGAT DIHARGAI
BANDA HILIR 20 Jun – Perasaan terharu dan gembira jelas terpancar pada wajah petugas pembersihan apabila pengorbanan serta keringat yang dicurahkan setiap hari dalam memastikan kebersihan Bandaraya Melaka mendapat penghargaan sewajarnya.
Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil inisiatif meraikan jasa golongan itu menerusi Program Santuni Petugas Pembersihan Sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat MBMB Tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Bagi pekerja pembersihan, Rafeah Ismail, 44, penghargaan yang diberikan amat bermakna dan tidak pernah disangka sepanjang berkhidmat menjalankan tugas.
Katanya, walaupun kerjaya sebagai petugas pembersihan sering berada di belakang tabir, namun tanggungjawab itu tetap dilaksanakan dengan penuh amanah termasuk ketika kebanyakan orang lain sedang bercuti atau menyambut perayaan bersama keluarga.
“Selama ini saya hanya menjalankan tugas seperti biasa kerana itu amanah yang perlu dilaksanakan, walaupun ada masanya terpaksa bekerja pada hari cuti termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Apabila dimaklumkan akan diraikan dalam satu majlis khas oleh MBMB, saya benar-benar teruja kerana ini kali pertama berpeluang menghadiri program sebegini bersama rakan-rakan setugas.
“Saya tidak sangka walaupun hanya bertugas sebagai pekerja pembersihan, kami tetap dihargai dan diberi penghormatan. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MBMB atas penghargaan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, majlis itu telah disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Rais Yasin dan turut bersama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Rafeah yang telah berkhidmat selama empat tahun bersama SWM Environment, kepuasan sebenar dalam menjalankan tugas bukanlah pada penghargaan yang diterima, sebaliknya apabila melihat persekitaran bandar sentiasa bersih dan pengunjung dapat menikmati suasana yang selesa.
“Apabila melihat kawasan sekitar bersih dan pelancong yang datang ke Melaka berasa gembira serta selesa untuk bercuti, kami turut berasa lega dan puas.
“Ada kalanya saya rasa tersentuh apabila pelancong mengucapkan terima kasih atas usaha yang dilakukan. Walaupun nampak kecil, ucapan seperti itu cukup bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk kami terus memberikan yang terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


