
MEDIPULIH SUMBANG 500 KAD RAHMAH BLOOM MEKAR KEPADA WARGA DUN TELOK MAS
TELOK MAS 20 Jun – Klinik MediPulih menyumbang 500 Kad Rahmah Bloom Mekar kepada golongan B40 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas sebagai usaha meluaskan akses kesihatan yang ditawarkan.
Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, manfaat daripada Kad Rahmah tersebut pengguna dapat pelbagai kemudahan dan keistimewaan kesihatan dengan diskaun sehingga 20 peratus bagi rawatan yang diterima di mana-mana cawangan Klinik MediPulih di negeri ini.
Katanya, pengagihan kad tersebut akan dilaksanakan Japerun Telok Mas dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan seperti pelajar dan orang kurang upaya (OKU).
“Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga layak menerima kad ini yang memberi akses kepada pelbagai kemudahan di setiap klinik MediPulih iaitu di Ujong Pasir; Batu Berendam dan Ayer Keroh.
“DUN Telok Mas menyaksikan sumbangan Kad Rahmah Bloom Mekar paling banyak setakat ini iaitu sebanyak 500 kad kepada 500 individu.
“Inisiatif ini merupakan langkah untuk memastikan lebih ramai rakyat khususnya golongan memerlukan dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih mudah dan mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Sentuhan Kasih Asnaf DUN Telok Mas sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta kenamaan lain.
Pada majlis sama, MediPulih turut menjalankan saringan kesihatan percuma kepada 270 pengunjung pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Abuzar Ghifari berkata, usaha itu dilihat sebagai langkah memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara berkala.
“MediPulih akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi perluaskan manfaat Kad Rahmah Bloom Mekar kepada lebih ramai masyarakat pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


