Sorting by

×

KENAPA PERLU ADA WRUR? TOK RAUF BERI JAWAPAN…

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

TELOK MAS 20 Jun – Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sekadar sebuah program mendekati rakyat, bahkan ia menjadi platform penting dalam mengukur kebersamaan dan komitmen pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan program itu menjadi manifestasi kepimpinan pada hari ini bergerak sebagai satu pasukan dalam menyantuni denyut nadi rakyat.

“Ada yang tanya saya, kenapa perlu buat program ni tok? Turun je ler santuni rakyat. Jawapannya mudah; dengan terlaksananya Program WRUR ini, semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bekerjasama, duduk satu meja dan bergerak sepasukan bagi memastikan setiap permasalahan rakyat diselesaikan.

“Saya selalu mengingatkan semua wakil rakyat dan penjawat awam agar tidak bekerja secara silo, maka untuk menyantuni rakyat juga perlu digerakkan dalam satu pasukan.

“Tambahan lagi, saya melihat, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan mempunyai permasalahan tersendiri, ada yang berada di kawasan bandar dan ada DUN berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Penutup Program
Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Banda Hilir Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.

Jelas Ketua Menteri, sehingga kini sebanyak 19 siri WRUR telah berjaya dilaksanakan di seluruh negeri dan ia akan terus digerakkan sehingga berakhirnya keseluruhan 28 DUN dalam Negeri Melaka.

“Sebab itu, saya tidak mahu ada mana-mana kawasan atau komuniti yang merasa mereka terpinggir daripada arus pembangunan negeri,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post WRUR: 521 PROGRAM BERI IMPAK BESAR BUAT 200,000 WARGA KOTA MELAKA
Next post KOTA MELAKA TERIMA PROJEK PEMBANGUNAN RM495 JUTA DALAM TEMPOH 3 TAHUN