
WRUR: 521 PROGRAM BERI IMPAK BESAR BUAT 200,000 WARGA KOTA MELAKA
TELOK MAS 20 Januari – Lebih 200,000 warga Kota Melaka mendapat manfaat besar menerusi siri penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang selesai menjelajah lima Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang empat minggu berlangsung membabitkan DUN Kota Laksamana, Banda Hilir, Kesidang dan Telok Mas, sebanyak 521 program untuk rakyat telah dilaksanakan.
Sebelum itu, pada tahun lalu, ujar beliau, WRUR terlebih dahulu menjelajah DUN Duyong selama dua minggu membabitkan pengisian lebih 180 program.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua wakil rakyat kerana telah memastikan setiap inci tanah dalam Parlimen Kota Melaka ini diberi sentuhan yang bermakna, sekali gus berjaya menyantuni lebih 200,000 warga Kota Melaka!
“Penghargaan yang sama saya tujukan kepada semua Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, para pemimpin masyarakat serta semua jabatan dan agensi yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan WRUR kali ini!
“Sejujurnya, sepanjang saya mengikuti perkembangan siri jelajah WRUR kali ini, saya melihat satu semangat luar biasa. Cukup meriah.. cukup hebat..Lebih penting lagi cukup gamat dengan sambutan warga Kota Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut bersama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Banda Hilir Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, sepanjang WRUR Parlimen Kota Melaka berlangsung, pelbagai isu yang dekat dengan hati rakyat telah pun diambil tindakan secara langsung melalui aspek infrastruktur, kemudahan awam, sistem saliran sehinggalah pendidikan serta kebajikan rakyat secara keseluruhannya.
Beliau memberi contoh kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri mengakhiri penantian penduduk Fasa 5 Taman Seri Telok Emas, selepas dua dekad menantikan kelulusan untuk mendapatkan sebuah surau.
“Alhamdulillah, melalui WRUR projek pembinaan surau yang bernilai RM600,000 ini dijangka siap sepenuhnya pada November 2026, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan ibadah yang lebih selesa dan sempurna.
“Mungkin sesetengah pihak melihat ini sebagai usaha kecil, tetapi bagi saya tiada istilah usaha kecil jika ia melibatkan keperluan asas dan kesejahteraan untuk Keluarga Besar Melaka. Kebajikan rakyat mesti ditimbang dengan rasa tanggungjawab dan amanah.
“Inilah mesej yang kita bawa dalam WRUR. Kita mahu pastikan keluhan yang sudah berlarutan 20 tahun ini, kita keluarkan, kita cari peruntukan dan kita selesaikan,” tegasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


