Sorting by

×

KOTA MELAKA TERIMA PROJEK PEMBANGUNAN RM495 JUTA DALAM TEMPOH 3 TAHUN

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

TELOK MAS 21 Jun – Dalam tempoh tiga tahun bermula dari 2023 hingga 2026, sebanyak 20 projek pembangunan bernilai hampir RM495 juta telah dilaksanakan di bawah Parlimen Kota Melaka bagi memenuhi hasrat serta keperluan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan itu amat penting memandangkan Kota Melaka merupakan sebuah kawasan yang sangat ‘urban’, di mana 95 peratus daripadanya merupakan penduduk bandar, dan hanya lima peratus penduduk luar bandar.

Jelas beliau, keadaan itu menjadikan keperluan pembangunan infrastruktur bandar, keselamatan, pendidikan, perumahan, ekonomi dan kemudahan awam sebagai antara fokus utama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Bagi DUN Kota Laksamana, pembangunan pendidikan tinggi terus diperkasakan apabila UiTM Cawangan Kampus Bandaraya Melaka menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1.8 juta bagi pelaksanaan projek naik taraf kemudahan dan infrastruktur pendidikan.

“Seterusnya, beralih ke WRUR DUN Bandar Hilir, pendekatan yang sama berjaya diterjemahkan melalui pembangunan sektor pendidikan dan perumahan demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Antaranya, kelulusan peruntukan hampir RM11.4 juta bagi menaik taraf SMK Seri Kota, selain peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf empat unit lif di Pangsapuri Jalan Bendahara, Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, dan Pangsapuri Laksamana 1 demi keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Banda Hilir Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, bagi WRUR di DUN Kesidang pula, pembangunan terus diperkasa melalui projek-projek berimpak tinggi, antaranya menaik taraf Sekolah Kebangsaan Malim yang menelan kos RM15.5 juta, naik taraf Politeknik Kota Melaka bernilai RM3.5 juta serta naik taraf Pangsapuri Pegaga berjumlah RM3 juta.

Manakala di DUN Telok Mas, ujar beliau,pendekatan turun padang yang ditunjukkan telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang sekian lama membelenggu rakyat, antaranya masalah banjir yang sering berlaku di beberapa kawasan sekitar Telok Mas.

Beliau memaklumkan, usaha itu diterjemah menerusi peruntukan RM2.7 juta bagi menaik taraf benteng di Taman Alai Perdana, selain turut menerima sebahagian daripada RM6.5 juta keseluruhan dana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk sistem saliran Kota Melaka.

“Bukan itu sahaja, DUN Telok Mas turut memperoleh kelulusan di bawah peruntukan Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi projek mega yang bernilai lebih RM5 juta ringgit untuk pembinaan longkang monsun.

“Bersempena WRUR ini juga, kita tambah RM510,000 bagi empat projek pembaikan, penyelenggaraan dan menaik taraf longkang, parit saliran, jalan serta pembetung, melibatkan Jalan Umbai-Pernu, Jalan Pantai Nekmat dan Jalan Cempaka.

“Tidak ketinggalan, kawasan desa di DUN Telok Mas turut menerima RM4.7 juta daripada Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah bagi melaksanakan pelbagai projek penyelenggaraan jalan kampung, saliran serta kemudahan infrastruktur desa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post KENAPA PERLU ADA WRUR? TOK RAUF BERI JAWAPAN…