Sorting by

×

LIMA TAHUN TOK AJAK, 328 PROJEK PEMBANGUNAN DIBAWA KE TELOK MAS

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 21 Jun – Dalam tempoh lima tahun diberi mandat oleh rakyat memimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, sebanyak 328 projek bernilai hampir RM68 juta telah dibawa oleh Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman demi keselesaan rakyat di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas itu berkata, ia merupakan hasil usaha yang telah dilaksanakan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab bagi memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar dapat dinikmati oleh warga Telok Mas.

Jelas beliau, kesemua projek itu memberi manfaat bukan hanya kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya menyeluruh kepada kesemua 12 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan itu.

“Daripada jumlah tersebut, JPKK Telok Mas telah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM10 juta, diikuti Alai (RM9.15 juta), Pernu (RM8.83 juta), Bukit Punggor (RM8.8 juta), Pengkalan Jajar (RM7.2 juta), Tersusun Bukit Larang (RM5.78 juta), Ujong Pasir (RM3.78 juta), Padang Temu (RM3.4 juta), Tambak Bugis/Bukit Meta (RM3.36 juta), Tambak Sebelong (RM2.76 juta), Permatang Pasir (RM2.68 juta) serta Bukit Larang/Bukit Pegoh (RM1.99 juta).

“Apa yang lebih penting, setiap peruntukan yang disalurkan ini diterjemahkan kepada pelbagai projek dan kemudahan yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat, selaras dengan komitmen saya untuk memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Banda Hilir Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak yang mesra dengan panggilan Tok Ajak berkata, projek-projek tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur seperti jalan, sungai, sistem saliran dan perparitan, selain turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan komuniti dengan projek baik pulih rumah daif dan pembinaan rumah baharu serta menaik taraf balai raya dan rumah ibadat.

Pada masa sama, pembangunan yang dibawa turut memberi penekanan dalam sudut ekonomi, pendidikan serta belia dan sukan menerusi projek menambah baik pusat perniagaan dan kemudahan penjaja, menaik taraf fasiliti sukan dan sekolah serta pelbagai kemudahan awam.

“Apabila saya diberikan mandat untuk mewakili warga Telok Mas, saya sentiasa berpegang kepada satu prinsip yang cukup mudah iaitu seorang wakil rakyat mesti sentiasa bersama rakyat.

“Bukan hanya ketika pilihan raya, bukan hanya ketika majlis rasmi, tetapi ketika rakyat memerlukan bantuan, ketika rakyat berdepan kesukaran dan ketika rakyat memerlukan seseorang untuk mendengar suara mereka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post TOK AJAK TERHARU SOKONGAN PADU ORANG TELOK MAS
Next post MTSB GILAP BAKAT CILIK MELALUI KEJOHANAN RAGBI PIALA TOK AJAK 2026