Sorting by

×

TOK AJAK TERHARU SOKONGAN PADU ORANG TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TELOK MAS 21 Jun – Sambutan luar biasa yang diterima sepanjang seminggu berlangsungnya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas membuktikan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memastikan agenda kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur dan terharu di atas sokongan padu yang diterima daripada rakyat di kawasan itu sepanjang WRUR berlangsung.

Jelas beliau, ia dapat dibuktikan apabila majlis penutup yang diadakan di Padang Bola Taman Seri Telok Mas dibanjiri kira-kira 10,000 penduduk dan masyarakat sekitar.

“Bukan itu sahaja, program-program lain yang dianjurkan juga mendapat sambutan hebat antaranya Telok Mas Heritage Fun Run yang disertai lebih 3,000 peserta.

“Selain itu, pertandingan memancing Crystal Bay Megasurf 2026 di Pantai Crystal Bay pula menerima penyertaan daripada kira-kira 1,000 kaki pancing dan begitu juga pelbagai program lain yang dianjurkan membabitkan segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Banda Hilir Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri memaklumkan, beberapa isu rakyat yang tertangguh sekian lama juga dapat diselesaikan menerusi WRUR, sekali gus mencerminkan impak besar program cetusan idea Ketua Menteri itu.

“Semua ini hasil inisiatif turun padang yang dilaksanakan kepimpinan negeri bersama jabatan dan agensi di setiap kawasan, sekali gus membantu aspek penyelesaian masalah secara lebih berkesan,” ujar beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post WRUR BERJAYA SELESAI 2,633 ADUAN RAKYAT
Next post LIMA TAHUN TOK AJAK, 328 PROJEK PEMBANGUNAN DIBAWA KE TELOK MAS