Sorting by

×

CINTA PADA ISLAM BAWA NURAZEERA KE JINJANG PELAMIN

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KESIDANG 24 Jun – Cinta berputik bukan sekadar membawanya ke jinjang pelamin, tetapi nikmat paling besar buat wanita ini adalah apabila dia juga mengenali Islam, seterusnya menerima hidayah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Nurazeera Abdullah, 50, dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong berkata, sepanjang 12 tahun bercinta dia bukan sekadar mengenal hati budi suaminya Ibrahim Bacha, 50, tetapi mendapat pendedahan secara mendalam mengenai keindahan Islam.

“Kami berkenalan ketika masing-masing berusia 38 tahun, selepas lebih sedekad saya akhirnya buat keputusan untuk memeluk Islam pada Disember 2025. Alhamdulillah kerana ketika itu semua proses diuruskan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Saya ucapkan terima kasih kepada MAIM kerana banyak membantu dan memudahkan urusan saya. Saya memilih Islam dengan hati yang terbuka selepas mendapat dorongan suami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Pernikahan dan Walimatul Urus Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2026 yang disempurnakan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis di Laman Kaca, Tengkera di sini, 20 Jun lalu.

Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Mohd Nasir Wahab.

Nurazeera berkata, penerimaan keluarga turut menjadi faktor penting yang menguatkan keyakinannya untuk memeluk Islam selain sokongan berterusan daripada suami ketika itu.

“Dulu saya hidup biasa bersama keluarga. Selepas ini saya banyak bergantung kepada suami. Alhamdulillah, keluarga saya juga memberi sokongan termasuk saudara mara banyak memberi galakan.

“Alhamdulilah saya sangat gembira, semua urusan dipermudahkan oleh MAIM. Harapan saya perkahwinan ini akan kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post TUJUH DITAHAN BANTU SIASAT KES PERGADUHAN DI BEMBAN
Next post FORMULA YB ALLEX BELA KEBAJIKAN WARGA KESIDANG