Sorting by

×

FORMULA YB ALLEX BELA KEBAJIKAN WARGA KESIDANG

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

KESIDANG 24 Jun – Pendekatan menggabungkan bantuan daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan sektor swasta terus menjadi antara formula utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin dalam membantu golongan memerlukan di kawasan itu.

Allex berkata, sebagai antara Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di Melaka dengan lebih 54,000 pengundi, pelbagai isu kebajikan perlu ditangani setiap hari, selain memerlukan tindakan pantas bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

PERKASA JARINGAN KEBAJIKAN

Menurut beliau, walaupun terdapat pelbagai saluran bantuan menerusi agensi seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR), terdapat juga kes-kes tertentu yang memerlukan sokongan tambahan daripada pelbagai pihak.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk membantu rakyat, tetapi ada situasi tertentu yang memerlukan tindakan segera atau bantuan tambahan yang mungkin tidak dapat ditampung sepenuhnya melalui saluran sedia ada.

“Sebab itu saya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada rakan-rakan, NGO, peniaga dan orang ramai yang mahu bersama-sama membantu golongan yang memerlukan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, antara kes yang mendapat perhatian adalah melibatkan seorang kanak-kanak penghidap kanser yang memerlukan kos rawatan mencecah RM400,000.

Katanya, kutipan dana yang dijalankan pada peringkat awal tidak mencapai sasaran, namun selepas hebahan dilakukan secara meluas melalui pelbagai platform, jumlah yang diperlukan berjaya dikumpulkan dalam tempoh singkat.

“Selepas usaha hebahan dibuat, keluarga pesakit sendiri menghubungi saya dan memaklumkan bahawa sasaran kutipan telah berjaya dicapai. Ini menunjukkan kekuatan semangat kebersamaan masyarakat yang sentiasa bersedia membantu apabila diperlukan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berkongsi kisah seorang ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak dibantu selepas wanita berkenaan kehilangan pekerjaan dan berdepan masalah kerosakan kenderaan yang menjadi pengangkutan utama keluarga.

Menurutnya, bantuan segera berjaya disalurkan hasil sumbangan rakan-rakan dan komuniti bagi membolehkan kenderaan tersebut dibaiki serta digunakan semula.

Allex berkata, sebuah keluarga yang hidup tanpa bekalan elektrik selama beberapa tahun juga pernah dibantu kerana tidak mampu menanggung kos sambungan utiliti.

Melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan dan penyumbang sukarela, masalah itu akhirnya berjaya diselesaikan dan keluarga terbabit kini dapat menikmati kemudahan asas yang lebih selesa.

KEBAJIKAN TIDAK KENAL SEMPADAN

Menurut beliau, isu kebajikan tidak pernah mengenal sempadan kawasan atau fahaman politik kerana keutamaan adalah membantu mereka yang memerlukan.

“Bagi saya, apabila melibatkan kebajikan rakyat, soal kawasan atau latar belakang tidak sepatutnya menjadi halangan. Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat membantu mereka keluar daripada kesusahan yang dihadapi,” katanya.

Dalam usaha mempercepatkan penyaluran bantuan, beliau berkata, pihaknya turut menggerakkan rangkaian pusat khidmat dan pegawai lapangan bagi memastikan setiap aduan dapat ditangani dengan segera.

Katanya, penduduk hanya perlu menyalurkan maklumat asas seperti nombor telefon dan lokasi sebelum pasukannya turun membuat lawatan serta penilaian keperluan.

“Jika melibatkan pesakit, kemalangan, kemiskinan atau kes kecemasan, pegawai kami akan turun padang secepat mungkin untuk melihat sendiri keadaan mereka.

“Sekiranya layak menerima bantuan, kita akan bantu menguruskan permohonan dan menghubungkan mereka dengan agensi berkaitan supaya proses dapat dipercepatkan,” katanya.

Tambah beliau, peranan wakil rakyat bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi turut memastikan setiap individu yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima perhatian sewajarnya.

“Isu kebajikan berlaku setiap hari dan tidak pernah berhenti. Sebab itu wakil rakyat perlu sentiasa turun padang, mendengar sendiri masalah rakyat dan mencari jalan terbaik untuk membantu mereka secepat mungkin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post CINTA PADA ISLAM BAWA NURAZEERA KE JINJANG PELAMIN
Next post WRUR RIM: BUKA PERSPEKTIF BAHARU URUS SISA, HASILKAN BAJA ORGANIK