Sorting by

×

WRUR RIM: BUKA PERSPEKTIF BAHARU URUS SISA, HASILKAN BAJA ORGANIK

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

RIM 24 Jun – Peluang menyertai program pembuatan baja organik memberi nilai tambah kepada penduduk apabila didedahkan dengan teknik penghasilan baja menggunakan sisa sayur-sayuran yang mudah dipraktikkan di rumah.

Penduduk Sarimah Abdul Wahid, 60, berkata, pelbagai maklumat dan perkongsian praktikal dikongsikan bagi menghasilkan baja organik menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh di rumah.

Katanya, program yang diadakan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim itu amat bermanfaat memandangkan kebanyakan penduduk mengusahakan aktiviti pertanian.

“Ini kali pertama saya menyertai program seperti ini dan saya sangat teruja kerana dapat menimba ilmu baharu yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Malah, program ini membuka perspektif baharu tentang kepentingan mengurus sisa makanan secara lebih sistematik selain menggalakkan amalan pertanian yang lebih selamat dan lestari.

“Sebelum ini lebihan sayur-sayuran dibuang begitu sahaja tetapi selepas mengikuti program ini saya tahu bahawa sisa tersebut boleh dikumpulkan dan diproses menjadi baja organik yang bermanfaat untuk tanaman,” kata pesara itu kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Program Pembuatan Baja Organik sempena Program WRUR DUN Rim di Balai Raya Kampung Chinchin Hulu, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk Mispani Hamdan, 61, berkata, penggunaan baja organik bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos pembelian baja komersial oleh petani malah lebih selamat digunakan untuk tanaman.

“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dianjurkan pada masa akan datang supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat dan mengaplikasikannya di rumah masing-masing.

“Menerusi program WRUR agensi dibawa turun padang dan berjumpa dengan penduduk ini memberi akses mudah untuk rakyat mendapatkan maklumat berkaitan pertanian dengan lebih jelas,” katanya.

Jelasnya, program seumpamanya perlu diteruskan pada masa hadapan memandangkan ia memberi manfaat cukup besar kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post FORMULA YB ALLEX BELA KEBAJIKAN WARGA KESIDANG
Next post WRUR RIM: ISU ANJING LIAR ANTARA 40 ADUAN DITERIMA MPJ