Sorting by

×

MELAKA KOMITED PERKUKUH ASPEK KESELAMATAN AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Semua jabatan, agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah untuk menilai semula tahap keselamatan kemudahan serta infrastruktur bagi mengelakkan insiden yang boleh mengancam keselamatan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, soal keselamatan tidak boleh dianggap sebagai isu sampingan sebaliknya mesti menjadi keutamaan dalam setiap aspek pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, semua pihak perlu memandang serius terhadap beberapa insiden berkaitan keselamatan awam yang berlaku kebelakangan ini seperti lif terhempas disebuah hotel yang mengakibatkan dua mangsa cedera dan kejadian tanah mendap di Jalan Semabok-Bukit Katil.

“Setiap risiko perlu dikenal pasti lebih awal dan setiap kelemahan perlu ditangani sebelum bertukar menjadi ancaman yang lebih besar.

“Kecuaian walau sekecil mana boleh membawa akibat besar bukan sahaja kepada keselamatan rakyat malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat, pelabur dan pengunjung terhadap tahap keselamatan di Melaka.

“Justeru itu, saya menggesa setiap jabatan, agensi dan PBT mengambil langkah proaktif untuk menilai semula tahap keselamatan kemudahan serta infrastruktur dibawah tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri, dalam soal keselamatan rakyat semua pihak perlu sentiasa selangkah di hadapan.

“Apa yang berlaku perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak ia sama ada melibatkan bangunan, hotel, jalan raya begitu juga utiliti awam.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka atas komitmen dan kecekapan dalam membanteras kegiatan jenayah di negeri ini termasuk menumpaskan sindiket penipuan dalam talian baru-baru ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL: 5,864 MYKAD SUDAH GUNA ALAMAT DIGITAL
Next post KECEMERLANGAN ANAK MELAKA BUKAN KEBETULAN, TETAPI HASIL KOMITMEN KERAJAAN NEGERI PERKASA ASPEK PENDIDIKAN