
KAMPUNG DIGITAL: 5,864 MYKAD SUDAH GUNA ALAMAT DIGITAL
AYER KEROH 22 Jun – Inisiatif Kampung Digital di Melaka kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila penggunaannya semakin meluas dalam kalangan rakyat terutama dalam hal melibatkan urusan rasmi Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka telah mengeluarkan sebanyak 5,864 Kad Pengenalan (MyKad) menggunakan alamat Kampung Digital Melaka.
Katanya, angka itu membuktikan pelaksanaan inisiatif pendigitalan alamat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri mula diterima dan digunakan secara meluas dalam sistem pentadbiran serta urusan harian rakyat.
“Inisiatif ini bukan sekadar penukaran alamat, tetapi satu transformasi ke arah sistem pentadbiran lebih tersusun, moden dan efisien.
“Kerajaan Negeri turut memperluaskan usaha penggunaan alamat digital melalui penglibatan pejabat daerah, Japerun, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pemimpin masyarakat bagi memastikan semua urusan rasmi dapat diselaraskan dengan sistem baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, inisiatif Kampung Digital juga akan diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang memperuntukkan RM3.29 juta bagi penyediaan data dan pemetaan yang lebih tepat.
“Kerjasama ini akan menyokong perancangan pembangunan negeri yang lebih tersusun serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Usaha ini akan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam masa terdekat bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited memperluaskan agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan Sistem e-Tanah 2.0 Negeri Melaka yang dilancarkan bagi memperkukuh pentadbiran tanah secara lebih pantas, selamat, telus dan sistematik.
“Sistem baharu ini akan menjadi sebahagian daripada transformasi digital negeri ke arah pentadbiran yang lebih cekap dan berintegriti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


