
WRUR PARLIMEN JASIN: KAMPUNG KITA, MPJ TAWAR DISKAUN KOMPAUN 80 PERATUS
RIM 22 Jun – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menawarkan diskaun bayaran kompaun sehingga 80 peratus bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Jasin: Kampung Kita.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, diskaun ditawarkan itu membabitkan kompaun kesalahan di bawah undang-undang kecil MPJ termasuk kesalahan tempat letak kereta.
“Menariknya sepanjang WRUR di Parlimen Jasin ini MPJ menawarkan potongan diskaun kompaun sebanyak 80 peratus selama empat minggu iaitu bermula di DUN Rim dan seterusnya DUN Serkam, diikuti DUN Sungai Rambai sebelum berakhir di DUN Merlimau.
“Oleh itu, orang ramai atau mereka yang mempunyai kompaun boleh hadir ke program WRUR untuk menikmati potongan diskaun yang ditawarkan.
“Tawaran diskaun ini tidak sah untuk kes saman atau tindakan mahkamah dan ia juga tidak terpakai bagi kompaun selain di bawah bidang kuasa MPJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program WRUR DUN Rim yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Masjid At-Taqwa Kampung Rim, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis; Adun Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Menurut Muhammad Zahiruddin, pelaksanaan inisiatif itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat, selain menggalakkan penyelesaian tunggakan secara menyeluruh.
“Selain menawarkan potongan diskaun ini pastinya MPJ turut akan terlibat dalam menjayakan lebih 300 program yang diaturkan untuk WRUR di empat DUN yang terlibat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


