
WRUR KONGSI ILMU BAJA ORGANIK KEPADA PEKEBUN RIM
RIM 24 Jun – Penganjuran program pembuatan baja organik dalam kalangan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim akan diperluaskan dengan kerjasama pelbagai pihak sebagai platform memperkenalkan alternatif pertanian kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, inisiatif itu amat bertetapan memandangkan DUN terbabit mempunyai ramai kebun kecil dan persendirian yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman.
Jelas beliau, menerusi program itu, peserta diberi pendedahan mengenai kaedah penghasilan baja organik yang lebih selamat dan menjimatkan.
“Bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kita bawakan program ini sebagai pengenalan dan juga pendedahan kepada penduduk. Ia bertetapan dengan objektif WRUR apabila kita membawa jabatan turun padang dan bertemu penduduk.
“Program ini amat baik kerana secara tidak langsung dapat memberi alternatif kepada pekebun dalam penggunaan baja dan tidak hanya bergantung kepada baja sedia ada di pasaran.
“Selepas ini kita akan teruskan lagi siri penganjuran kerana setiap program yang dianjurkan bukan sekadar program sehari sebaliknya akan diteruskan dengan kerjasama dan pembabitan pelbagai pihak berkaitan selain Jabatan Pertanian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata demikian ketika ditemui pada Program Pembuatan Baja Organik sempena Program WRUR DUN Rim di Balai Raya Kampung Chinchin Hulu, di sini, semalam.
Menurut Khaidhirah, penggunaan baja organik bukan sahaja memberi manfaat dari segi penjimatan kos malah ia lebih selamat, sekali gus membantu meningkatkan tahap kelestarian kehidupan masyarakat.
“Selain itu juga apabila kita membawa agensi terus ke kampung, masyarakat akan lebih mengetahui akses yang disediakan dan lebih mudah mendapatkan maklumat serta bantuan yang diperlukan,” katanya.
Terdahulu, pada program itu juga sebanyak 200 anak pokok kelapa pandan turut diagihkan kepada peserta dan penduduk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


