Sorting by

×

PERZIM ANJUR DUA FESTIVAL ANGKAT KEUNIKAN WARISAN MELAKA 3-5 JULAI INI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 24 Jun – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bakal menganjurkan Festival Masakan Warisan Melaka 2026 yang berlangsung di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, dari 3 hingga 5 Julai depan.

Festival itu bakal menggabungkan dua acara utama serentak dengan matlamat memperkasa makanan tradisi dan warisan budaya.

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, selain Festival Masakan Warisan Melaka, turut diadakan Melaka Heritage Festival 2026 bersempena sambutan ulang tahun ke-18 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

Menurut beliau, pelbagai pengisian menarik telah dirancang sepanjang tiga hari festival berlangsung, termasuk demonstrasi masakan tradisional pelbagai etnik di Melaka serta penyertaan dari beberapa negeri lain.

“Ini merupakan kali pertama PERZIM menggabungkan dua festival dalam satu penganjuran. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh usaha pemeliharaan warisan ketara dan tidak ketara, selain memperkenalkan kepelbagaian budaya Melaka kepada masyarakat dan pelancong.

“Melaka Heritage Festival akan memberi fokus kepada warisan tidak ketara seperti seni budaya, tarian dan persembahan tradisional, manakala Festival Masakan Warisan Melaka pula mengetengahkan keunikan makanan tradisional yang menjadi identiti masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Malam Lestari Warisan yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di Tokong Cheng Wah Keong, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Erne berkata festival yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu akan menghimpunkan pelbagai penyertaan melibatkan komuniti tempatan serta institusi muzium dari seluruh negara.

Katanya, antara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Negeri Sembilan, Muzium Terengganu dan Muzium Pahang.

“Festival ini bukan sekadar platform mempromosikan warisan budaya dan makanan tradisional, malah menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara khazanah warisan negara.

“Kami menjemput orang ramai, khususnya rakyat Melaka dan pelancong, untuk hadir memeriahkan festival ini serta bersama-sama menghargai kekayaan warisan yang menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post WRUR KONGSI ILMU BAJA ORGANIK KEPADA PEKEBUN RIM
Next post WRUR RIM: PERMUDAH RAKYAT LUAR BANDAR DAPAT BANTUAN, MAKLUMAT