Sorting by

×

WRUR RIM: PERMUDAH RAKYAT LUAR BANDAR DAPAT BANTUAN, MAKLUMAT

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

RIM 24 Jun – Sambutan menggalakkan penduduk terhadap Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim membuktikan inisiatif santunan rakyat itu memberi impak besar kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Ia memandangkan masih terdapat ramai masyarakat tercicir maklumat berkaitan bantuan dan perkhidmatan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, perkara itu dapat dilihat apabila borang permohonan bantuan daripada beberapa agensi habis diedarkan dalam tempoh singkat sepanjang program berlangsung.

Menurut beliau, situasi tersebut menunjukkan keperluan untuk terus mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat, khususnya penduduk luar bandar, bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan bantuan yang diperlukan.

“Permohonan bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sangat tinggi sehingga borang yang disediakan habis diedarkan. Kita terpaksa mendapatkan tambahan borang bagi memenuhi permintaan penduduk.

“Keadaan ini membuktikan masih ramai yang memerlukan bantuan atau ingin membuat permohonan, namun sebelum ini mereka tidak mengetahui saluran yang betul atau cara untuk mendapatkan maklumat berkaitan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Program Gotong-Royong Perdana Kampung Chenderah sempena WRUR DUN Rim, di sini, semalam.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, pendekatan WRUR yang menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi di satu lokasi berjaya memudahkan urusan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan secara terus.

Katanya, selain mendapatkan maklumat berkaitan kebajikan, ramai penduduk turut mengambil peluang mendapatkan penerangan mengenai bantuan pertanian, pembangunan serta pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Dalam DUN Rim, sebahagian besar penduduk terlibat dalam sektor pertanian dan perusahaan kecil. Ramai sebenarnya layak menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan.

“Menerusi WRUR, mereka bukan sahaja mendapat maklumat secara terus daripada agensi berkaitan, malah dapat membuat permohonan serta mendapatkan bimbingan yang diperlukan tanpa perlu berulang-alik ke pejabat agensi,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat serta membantu memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post PERZIM ANJUR DUA FESTIVAL ANGKAT KEUNIKAN WARISAN MELAKA 3-5 JULAI INI
Next post TUJUH DITAHAN BANTU SIASAT KES PERGADUHAN DI BEMBAN