
TUJUH DITAHAN BANTU SIASAT KES PERGADUHAN DI BEMBAN
JASIN 24 Jun – Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang mengakibatkan dua lelaki cedera parah dalam kejadian di tepi jalan berhampiran sebuah perhentian bas di Jalan Gapam, Bemban awal pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Melaka antara jam 3 petang hingga 6.50 petang pada hari kejadian.
Menurut beliau, tangkapan melibatkan enam lelaki dan seorang wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan berkaitan kehilangan sebuah beg tangan sebelum bertukar menjadi pertengkaran dan pergaduhan membabitkan beberapa individu.
“Siasatan turut mendapati seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Lee berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, dua mangsa berusia 21 dan 28 tahun mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul menggunakan kayu dan tangan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Melaka dengan seorang daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Hasil soal siasat mendapati beberapa individu yang ditahan mengaku terlibat dalam pergaduhan tersebut, manakala ada yang mendakwa hanya berada di lokasi bagi meleraikan keadaan.
“Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan termasuk telefon bimbit, pakaian yang dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebatang kayu yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek dijangka direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


