Sorting by

×

BATIK ‘CLAY’ PRODUK KEBANGGAAN RIM

Masa Membaca:2 Minit, 50 Saat

RIM 26 Jun – Juara dalam penghasilan batik bermutu dengan motif menarik di negara ini pada kebiasaannya dikaitkan dengan perusahaan yang beroperasi di negeri-negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Apa tidaknya batik adalah sebahagian daripada identiti masyarakat di sana yang dipakai setiap hari oleh suri rumah, nelayan keluar mencari rezeki di laut dan petani selain turut menjadi pilihan untuk digayakan ketika menghadiri majlis-majlis tertentu.

Kemegahan batik keluaran negeri sebelah Pantai Timur tidak dapat disangkal lagi kerana sudah ada pengusaha yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa berikutan motif menarik yang digunakan.

Malah batik juga popular sebagai buah tangan tanda kenangan dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa yang meluangkan masa bercuti di negeri-negeri berkenaan.

Namun dalam diam batik Melaka kini mula mendapat perhatian ramai dek kerana kesungguhan anak jati negeri ini yang mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan produk yang dihasilkan di Pantai Timur.

WhatsApp Image 2026 06 24 at 3.03.49 PM
BAJU batik dihasilkan bukan sahaja menggunakan motif menarik tetapi kemas dan selesa untuk dipakai.

Antara yang mula menarik perhatian ramai adalah Batik Clay Rim Legacy mengusahakan batik tanah liat di bengkel belakang rumah melibatkan komuniti penduduk di Kampung Rim.

Pembuatan batik ‘clay’ merupakan kaedah alternatif yang diketengah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menggantikan lilin.

Pengusaha Batik Clay Rim Mazlina Abdul Majid berkata, idea menghasilkan batik menggunakan tanah liat tercetus selepas beliau menyertai bengkel batik clay bersama komuniti Kampung Rim sebelum mengambil keputusan untuk mengusahakannya secara lebih serius.

“Biasanya apabila sebut tentang tanah liat, orang akan membayangkan pasu namun kami cuba ketengahkan tanah liat juga boleh dijadikan medium untuk menghasilkan batik. Dalam pembuatan batik ini, kami menggunakan tanah liat sebagai penghalang warna berbanding kebanyakkan pengusaha yang menggunakan teknik lilin.

“Batik Clay Rim Legacy ini adalah batik tanah liat pertama di Melaka dan pastinya dalam motif atau corak yang kami gunakan membawa identiti Melaka seperti bunga kesidang, cucuk sanggul dan roda kereta lembu,” katanya ketika ditemui Bangunan 3P Jalan Kampung Rim.

WhatsApp Image 2026 06 24 at 3.02.37 PM
MAZLINA ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya, selepas empat tahun perusahaan itu semakin berkembang dengan penghasilan lebih daripada 10 produk seperti baju kemeja lelaki, pakaian wanita, tudung dan ‘soft toys’ malah lebih membanggakan hasil tangan mereka juga sudah terbang ke Jerman.

“Ketika ke negara itu atas urusan rasmi Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar membawa bersama batik kami hasilkan.

“Perusahaan ini melibatkan lapan orang termasuk saya, alhamdulillah atas komitmen semua minat yang bermula sebagai hobi kini menjadi antara sumber pendapatan.

“Saya juga kini sedang dalam perbincangan untuk menjalin kerjasmaa dengan Tourism Jepun bagi memasarkan Batik Clay Rim ke negara matahari terbit itu menerusi penghasilan kimono yang mengetengahkan identiti dan keunikan seni batik tempatan,” katanya.

Mazlina berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang mengusahakan perusahaan itu, semangat untuk terus mengembangkan Batik Clay Rim Legacy tidak pernah luntur kerana setiap ahli komuniti sentiasa saling memberikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain bagi memastikan perusahaan berkenaan terus berkembang maju.

“Pastinya harapkan kami adalah untuk melihat perusahaan ini terus berkembang lebih maju dan mempunyai lebih ramai peminat, sekali gus dapat membuka peluang pendapatan kepada lebih ramai komuniti setempat.

“Harga ditawarkan pula dalam kategori mampu milik kerana kami mahu semua lapisan masyarakat khususnya penduduk kampung berpeluang memiliki dan memakai produk Kampung Rim ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post MAJORITI VETERAN ATM PILIH KEUSAHAWANAN SEBAGAI KERJAYA KEDUA
Next post PRESTASI SEMUA PBT DI MELAKA PADA TAHAP TERBAIK