Sorting by

×

MAJORITI VETERAN ATM PILIH KEUSAHAWANAN SEBAGAI KERJAYA KEDUA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 26 Jun – Kira-kira 60 hingga 70 peratus veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan, berbanding bekerja dalam sektor bermajikan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, berdasarkan pemantauan terhadap kira-kira 26,000 veteran dalam tempoh lima tahun, hanya sebahagian kecil memilih pekerjaan bermajikan manakala majoritinya cenderung membina kerjaya sebagai usahawan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terus memperkukuh latihan dan bimbingan keusahawanan, di samping menggalakkan veteran menceburi sektor pekerjaan berteknologi tinggi yang menawarkan prospek pendapatan lebih baik.

“Di MINDEF, komitmen kita adalah untuk memastikan usahawan veteran terus menerima latihan termasuk melaksanakan program bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai salah satu pusat latihan keusahawanan negara supaya melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan veteran tentera.

“Kalau kita lihat daripada data-data kita, hampir 60 hingga 70 peratus memilih bidang keusahawanan, hanya sebahagian sahaja yang memilih bidang bermajikan.

“Sebab itu kita cuba tingkatkan lagi supaya mereka mempunyai prospek yang lebih baik, terutamanya dalam industri-industri berteknologi tinggi termasuk dalam industri pertahanan negara juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Masterclass di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi PERHEBAT, Prof. Emerita Datuk Dr. Roziah Omar dan Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Adly berkata, kecenderungan majoriti veteran memilih bidang keusahawanan mendorong kerajaan memperkukuh latihan dan bimbingan agar mereka lebih berdaya saing, selain mampu mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, keadaan itu turut membuktikan veteran ATM mempunyai pelbagai potensi, kemahiran dan kepakaran, sekali gus menepis persepsi bahawa bekas anggota tentera hanya sesuai bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas menamatkan perkhidmatan.

“Maklum balas yang kita terima daripada industri juga sangat positif kerana veteran mempunyai kelebihan dari segi disiplin, pengalaman operasi dan kesetiaan terhadap organisasi.

“Antara contoh jelas ialah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang memanfaatkan khidmat veteran kerana pengalaman mereka dalam operasi dan penguatkuasaan sekali gus menjimatkan tempoh latihan selain mengurangkan kos yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

545
Kongsi :
Previous post MPHTJ PERKETAT SYARAT CCC, PEMAJU WAJIB GUNA POKOK TEMPATAN
Next post BATIK ‘CLAY’ PRODUK KEBANGGAAN RIM