
PRESTASI SEMUA PBT DI MELAKA PADA TAHAP TERBAIK
BEMBAN 26 Jun – Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka menunjukkan prestasi yang terbaik dan komited untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat meskipun berdepan kenaikan kos operasi.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, selain mengharapkan hasil daripada kutipan cukai semua PBT di Melaka juga menerima peruntukan daripada kementerian berkaitan.
“Setakat enam bulan pertama 2026 prestasi semua PBT di Melaka adalah baik. Peruntukan diterima daripada kementerian digunakan untuk melaksanakan projek pembangunan termasuk dalam sektor ekonomi, pelancongan dan pembangunan bandar.
“Alhamdulillah, semua PBT di negeri ini termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menunjukkan prestasi baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Bulan Jun 2026 dan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Anjung Gapam di Taman Rekreasi Anjung Gapam, di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron serta kenamaan lain.
Zulkiflee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning berkata, PBT juga mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan dalam masa yang sama terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


